PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah baginda tidak mahu menerima menghadap Datuk Ismail Lasim selagi Menteri Besar itu tidak menarik balik kenyataan bahawa baginda bukan lagi pemerintah di Negeri Sembilan.
Ketegasan baginda itu tular menerusi satu video yang dipercayai dirakam selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.
Dalam rakaman itu, baginda mempersoalkan tindakan Ismail yang didakwa menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan keputusan yang dibuat bersama barisan Exco adalah sah, sekali gus mendakwa baginda bukan lagi merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Jadi, datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakan itu, jangan datang jumpa saya.
“Pergi, jangan jumpa saya, saya tidak mahu jumpa kamu, faham,” titah baginda.
Krisis institusi diraja Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kesahihan proklamasi itu menjadi pertikaian apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu memutuskan proklamasi berkenaan tidak sah, antaranya atas alasan status tiga daripada empat penandatangan serta proses yang didakwa tidak dipatuhi sepenuhnya.
Kemelut itu memuncak pada 16 September lalu apabila barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan proklamasi berkenaan adalah sah.
Susulan itu, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua ahli Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Raja-Raja Melayu baru-baru ini menegaskan pihak luar tidak seharusnya mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sebaliknya, semua pihak diseru supaya mengutamakan penyelesaian berlandaskan undang-undang dan adat negeri.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sebarang perbezaan pendirian berhubung isu berkenaan hendaklah diselesaikan menerusi saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa dalam semangat syura serta musyawarah.
Menurut beliau, proses penyelesaian itu mestilah berlandaskan undang-undang serta berpandukan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – UTUSAN










