Vivy, suami keluarkan RM11 juta melalui kaunter bank – Saksi

Vivy, suami keluarkan RM11 juta melalui kaunter bank – Saksi

VIVY Yusof dan Fadzarudin Shah hadir pada perbicaraan kes mereka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas bersama FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar masing-masing telah mengeluarkan wang sebanyak RM5.5 juta daripada akaun peribadi mereka pada 5 September 2018.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Cawangan Bukit Damansara, Tay Lay Hong, 54, memaklumkan perkara itu berdasarkan semakan penyata bank kedua-dua individu berkenaan yang menunjukkan pengeluaran wang dilakukan melalui kaunter bank pada tarikh sama.

“Pada 5 September 2018, terdapat satu transaksi pengelua­ran wang berjumlah RM5.5 juta daripada akaun Vivy melalui kaunter bank. Semakan terhadap penyata akaun Fadzarudin turut menunjukkan pengeluaran RM5.5 juta pada tarikh sama melalui kaunter bank.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sahkan pengeluaran ini adalah dilakukan secara pengeluaran wang di kaunter bank, cuma saya sahkan Branch 269 itu adalah bukan Public Bank Bukit Damansara kerana kod Public Bank Bukit Damansara adalah Branch 066,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Lay Hong yang merupakan saksi pendakwaan kelima ber­kata, semakan penyata bank turut mendapati kedua-dua tertuduh masing-masing menerima RM5 juta daripada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. beberapa hari sebelum pengeluaran wang berkenaan.

Menurutnya, wang RM5 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Vivy pada 3 September 2018 manakala jumlah sama dimasukkan ke dalam akaun Fadzarudin sehari kemudian.

Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan pemindahan dana pelaburan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) sebanyak RM8 juta daripada akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan ahli lembaga penga­rah platform e-dagang berke­naan.

Pertuduhan dikemukakan men­gikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu turut berdepan dua pertuduhan pilihan kerana didakwa menyalahgunakan harta milik FashionValet, iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.

Pertuduhan pilihan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 3 November ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini