PELUANG pendidikan yang diterima melalui Biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukan sekadar mengubah perjalanan hidup penerimanya.
Hari ini, mereka menggunakan ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk mencipta nilai, memimpin dan membuka jalan kepada generasi seterusnya.
APABILA PELUANG MENJADI TITIK PERUBAHAN
Setiap perjalanan bermula dengan sebuah peluang. Di sebalik setiap penerima biasiswa, terdapat latar kehidupan, cabaran dan aspirasi yang berbeza.
Bagi sesetengah penerima Biasiswa PNB, peluang itu membuka pintu kepada pendidikan yang mungkin sukar dicapai tanpa sokongan. Bagi yang lain, ia menjadi titik permulaan untuk membina keyakinan, pengalaman dan jaringan yang membentuk perjalanan kerjaya mereka.
Namun, nilai sesebuah biasiswa tidak berakhir apabila pengajian selesai. Ia dapat dilihat melalui kehidupan dan sumbangan yang dibina selepas itu.
Bagi Natrina Majid, surat tawaran Biasiswa PNB menjadi titik perubahan yang membuka peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Berasal dari Sabah dan dibesarkan dalam keluarga sederhana, peluang tersebut memberinya akses kepada pendidikan yang pada ketika itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan biasiswa.
Perjalanan itu akhirnya membawanya kembali ke PNB, tempat beliau kini menerajui fungsi undang-undang.
“Alhamdulillah, peluang yang diberikan melalui Biasiswa PNB telah membuka jalan kepada kejayaan yang saya kecapi hari ini.
“Bagi saya, sumbangan bukan sekadar melalui kerjaya, tetapi juga dengan membantu membangunkan generasi yang bakal meneruskan legasi PNB dan negara,” katanya yang kini merupakan Ketua Undang-undang, PNB.
Hari ini, pengalaman tersebut turut memberi Penerima Biasiswa PNB, Kumpulan 7 (2002) dan menuntut di Queen Mary University of London peluang untuk menyumbang kepada pembangunan bakat baharu, termasuk melalui penglibatan dalam Jawatankuasa Pendidikan yang membantu mengenal pasti dan memilih bakal penerima biasiswa.
Daripada seorang pelajar yang pernah menerima peluang, beliau kini berada di kedudukan untuk membantu membuka peluang kepada generasi seterusnya.
PENDIDIKAN MENGUBAH LEBIH DARIPADA SATU KEHIDUPAN
Kesan pendidikan tidak semestinya terhenti pada individu. Bagi Mohamad Zuwairi Abd Rahman, Biasiswa PNB bukan sahaja membuka laluan kepada pendidikan dan kerjaya, tetapi turut memberi peluang untuk meningkatkan kehidupan keluarganya.

Sebagai anak kepada penjawat awam dan anggota polis, beliau menghargai peluang yang diberikan untuk membina kerjaya dalam bidang pelaburan.
Kini, selepas lebih 25 tahun bersama PNB, beliau mengetuai Kumpulan Ekuiti Awam dan pernah berkhidmat hampir sedekad sebagai pengurus dana ASB.
Ketua Kumpulan Ekuiti Awam, PNB itu merupakan penerima Biasiswa PNB, Kumpulan 1 (1996) dan menyambung pengajian di Imperial College London.
Dalam peranannya, beliau turut memainkan peranan dalam mengurus dan mengembangkan dana yang memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia.
Kisah Zuwairi menunjukkan bagaimana peluang pendidikan boleh berkembang menjadi pencapaian peribadi, kestabilan keluarga dan tanggungjawab yang lebih besar kepada masyarakat.
DARIPADA PENERIMA KEPADA PENYUMBANG
Tiga dekad selepas kumpulan pertama menerima Biasiswa PNB, para alumninya kini berada dalam pelbagai peranan dan bidang; daripada pelaburan dan kewangan kepada undang-undang, kepimpinan dan pembangunan organisasi.
Bagi Nurdina Mohd Shamsudin, perjalanan bersama PNB selama 18 tahun membolehkannya menggunakan kepakaran yang dibina untuk terlibat dalam projek yang mempunyai kepentingan kepada negara, termasuk pembangunan Merdeka 118.

“PNB telah membuka peluang yang mengubah perjalanan hidup saya. Justeru, saya merasa bertanggungjawab untuk menyumbang kembali dengan terus berkhidmat di PNB dan memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh untuk membangunkan negara.
“Kini, selepas 17 tahun bersama PNB, saya berbangga dapat memainkan peranan dari segi kewangan dalam projek-projek yang memberi impak kepada Malaysia, termasuk Merdeka 118,” kata Ketua Kewangan, PNB Merdeka Ventures.
Bagi penerima Biasiswa PNB, Kumpulan 5 (2000) dan menuntut di University of Warwick, sumbangan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang sama.
Katanya, Ia boleh diterjemahkan melalui kepakaran, keputusan yang dibuat dan tanggungjawab yang dipikul dalam setiap peranan.
Daripada peluang pendidikan yang diterima lebih dua dekad lalu, hari ini beliau membantu merealisasikan projek yang menjadi sebahagian daripada landskap pembangunan Malaysia.
MEMBUKA JALAN UNTUK GENERASI SETERUSNYA
Impak sebuah biasiswa juga dapat dilihat melalui bagaimana pengalaman dikongsi dengan mereka yang datang selepasnya.
Bagi Nan Naimah Long Ahmad Burhanuddin, Biasiswa PNB membawa bersamanya bukan sahaja peluang, tetapi rasa tanggungjawab untuk memastikan manfaat tersebut terus dirasai generasi seterusnya.

Kini sebagai Ketua Pejabat Kepimpinan PNB, beliau memainkan peranan dalam pembangunan bakat dan kepimpinan organisasi, di samping berkongsi pengalaman dengan golongan muda.
“Hari ini, saya membalas kepercayaan tersebut dengan membantu membuka peluang kepada generasi seterusnya melalui bimbingan, perkongsian pengalaman dan sokongan agar mereka juga dapat mencapai potensi terbaik mereka.
“Bagi saya, impak sebenar sesuatu peluang adalah apabila ia dapat diteruskan kepada individu seterusnya,” katanya yang merupakan penerima Biasiswa PNB, Kumpulan 12 (2007) dan menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM).
Melalui pementoran, sokongan dan perkongsian pengalamannya, beliau berusaha membuka pintu kepada golongan muda agar mereka turut mempunyai peluang yang sama ketika memulakan perjalanan kerjaya.
Kisahnya memperlihatkan bahawa seorang penerima biasiswa yang berjaya bukan sahaja mengubah kehidupannya sendiri, malah boleh menjadi sumber panduan dan peluang kepada individu lain.
SATU PELUANG, KESAN YANG BERPANJANGAN
Empat kisah ini datang daripada generasi dan bidang yang berbeza. Namun, kesemuanya bermula dengan perkara yang sama — sebuah peluang untuk berkembang.
Hari ini, kesan peluang itu dapat dilihat dalam pelbagai bentuk.Ada yang membina kepakaran dan memimpin fungsi penting dalam PNB.
Ada yang mengurus dana untuk manfaat jutaan rakyat. Ada yang terlibat dalam projek pembangunan negara. Ada yang membangunkan bakat dan membimbing generasi baharu.
Setiap peranan berbeza. Setiap bentuk sumbangan juga berbeza.Namun, semuanya menunjukkan bahawa pelaburan dalam bakat boleh menghasilkan impak yang jauh melangkaui individu.
MENERUSKAN PELABURAN DALAM BAKAT
Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, legasi sebenar Program Biasiswa PNB tidak diukur melalui jumlah penerima yang ditaja, tetapi melalui impak yang mereka cipta sebagai pemimpin, profesional dan pencetus perubahan.

Beliau turut berharap agar alumni Biasiswa PNB terus menyumbang kepada negara, membimbing generasi bakat muda serta memanfaatkan ilmu dan pengalaman mereka untuk membawa manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan negara.
“Komitmen ini selari dengan aspirasi PNB untuk terus melabur dalam insan dan melahirkan pemimpin masa depan yang mampu mencipta nilai berkekalan untuk Malaysia,” ujar beliau.
Selepas tiga dekad, perjalanan Program Biasiswa PNB terus berkembang.Apa yang bermula sebagai sebuah peluang pendidikan telah berkembang menjadi perjalanan yang melahirkan bakat, membina kerjaya dan mencipta sumbangan dalam pelbagai bidang.
Dan bagi mereka yang pernah menerima peluang tersebut, perjalanan itu belum berakhir.
Daripada bakat lahirnya pencapaian. Daripada pencapaian tercipta impak. Dan apabila impak itu diteruskan kepada generasi seterusnya, sebuah legasi terus dibina. – UTUSAN











