PNB sasar pelaburan aset hijau RM15 bilion menjelang 2030 - Utusan Malaysia

PNB sasar pelaburan aset hijau RM15 bilion menjelang 2030

RIZAL RICKMAN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan untuk menyalurkan RM15 bilion dalam pelaburan aset hijau dan peralihan menjelang 2030 menerusi peluncuran Rangka Kerja Kemampanan 2026 (SF 2026).

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, sasaran berkenaan merupakan antara komitmen baharu bawah pelan hala tuju baharu itu, di samping peruntukan RM500 juta bagi inisiatif pelaburan sosial berimpak untuk tempoh sama. 

“Berteraskan temanya, “Melabur Secara Bertanggungjawab, Memperkasa Generasi”, SF 2026 memperkukuh pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi aktiviti pelaburan, operasi dan pengawasan PNB.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rangka kerja ini disokong oleh 16 sasaran boleh diukur digerakkan menerusi tiga teras strategik iaitu Memacu Kemampanan Organisasi, Tadbir Urus Bertanggungjawab dan Memperkukuh Agenda Pembinaan Negara.

“Kemampanan sudah menjadi sebahagian penting dalam pelaksanaan mandat PNB, khususnya dalam memastikan simpanan rakyat Malaysia dilaburkan secara bertanggungjawab dan mampu mencipta nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perkara itu termasuk mencapai sasaran Perusahaan Sifar Bersih 2025, memastikan 100 peratus penggunaan elektrik Perusahaan PNB disokong oleh sijil tenaga boleh baharu, serta melabur sebanyak RM8.1 bilion dalam aset hijau dan aset peralihan.

“Kami turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh amalan di tempat kerja serta pelaburan bertanggungjawab merentasi portfolio kami.

“Pencapaian itu menunjukkan usaha kemampanan sudah diterapkan dalam kaedah PNB melabur, menjalankan operasi dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai institusi pelaburan,” katanya.

Menurut beliau, SF 2026 merupakan kesinambungan daripada pencapaian Rangka Kerja Kemampanan 2022 yang telah berjaya mencapai lapan daripada 10 sasaran asal yang ditetapkan.

“Ini merangkumi pencapaian Perusahaan Sifar Bersih 2025, penggunaan 100 peratus elektrik yang disokong sijil tenaga boleh baharu, serta pelaburan sebanyak RM8.1 bilion dalam aset hijau dan peralihan sebelum ini.

“SF 2026 menetapkan penanda aras lebih tinggi dengan penekanan kepada pelaburan bertanggungjawab, pengurusan jangka panjang, impak sosial dan pembangunan negara.

“Sebagai institusi yang mendukung amanah rakyat, kami memastikan nilai yang dicipta dapat diwariskan merentasi generasi di samping menyumbang kepada negara yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Bagi teras operasi, PNB mengekalkan pelepasan Sifar Bersih Skop 1 dan Skop 2, selain menyokong aspirasi Pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050 manakala aspek tadbir urus menumpukan daya tahan iklim, biodiversiti dan amalan pekerjaan yang adil.

Penyaluran modal tersebut bertujuan memastikan nilai yang dicipta bukan sahaja menjana pulangan kewangan mampan, malah menyokong peralihan ekonomi berdaya tahan dan memberi manfaat semula kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×