PETALING JAYA: Lebih 6,500 pelajar menerima manfaat menerusi pelbagai inisiatif pendidikan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 1996, dengan sebahagian daripada mereka kini kembali menyumbang sebagai tenaga profesional dan pemimpin dalam pelbagai sektor.
Usaha berkenaan disokong pelaburan sebanyak RM569.3 juta menerusi 20 program pendidikan bagi membangunkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.
Impak pelaburan itu turut dapat dilihat apabila seramai 333 alumni program pendidikan PNB kini berkhidmat di organisasi berkenaan, manakala 30 peratus daripada barisan pengurusan tertinggi PNB terdiri daripada alumni program tersebut.
Pada masa sama, alumni program berkenaan turut membina kerjaya dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan pelaburan, kepimpinan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), akademia dan keusahawanan.
Perkembangan itu memperlihatkan kesan jangka panjang pelaburan dalam pendidikan apabila penerima bukan sahaja membina kerjaya masing-masing, malah sebahagiannya kembali menyumbang kepada organisasi dan sektor yang lebih luas.

Sejak memperkenalkan inisiatif biasiswa pendidikan pertamanya pada 1996, PNB terus memperluas skop pembangunan bakat menerusi program yang meliputi pendidikan menengah, pengajian tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pensijilan profesional serta pengajian pascasiswazah.
Bagi 2025 sahaja, sebanyak RM42 juta dibelanjakan PNB dalam bidang pendidikan, dengan lebih 1,200 penerima biasiswa aktif sedang melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
PROGRAM BIASISWA PNB (DALAM DAN LUAR NEGARA)
Antara teras utama usaha berkenaan ialah Program Biasiswa PNB yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berpotensi tinggi menerusi peluang melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dalam dan luar negara.
Selain menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti, pengalaman menimba ilmu dalam persekitaran akademik yang pelbagai turut memberi pendedahan lebih luas kepada penerima, sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat global.

Antara pencapaian awal program itu ialah kemasukan pelajar pertama tajaan PNB ke Universiti Cambridge pada 1999, diikuti Universiti Oxford pada 2005 dan Universiti Harvard pada 2020.
Perkembangan itu mencerminkan usaha PNB memperluas pendedahan pendidikan bertaraf antarabangsa sebagai sebahagian daripada pembangunan bakat untuk memenuhi keperluan masa depan.
Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) PNB
Dalam masa sama, PNB turut memperluas akses pendidikan kepada kelompok kurang berkemampuan menerusi inisiatif Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) PNB.
BUDI PNB memberi tumpuan kepada pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga kurang berkemampuan, dengan sokongan diberikan bermula peringkat menengah sehingga pengajian tinggi.
Program itu turut melibatkan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), program PERMATA serta institusi TVET.
Antara bidang TVET yang mendapat sokongan ialah automotif, elektrik dan elektronik, servis mekanikal serta teknologi maklumat, selaras dengan keperluan melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
Sehingga kini, seramai 1,152 pelajar telah mendapat manfaat daripada BUDI PNB.
Pendekatan itu turut membuka ruang kepada pelajar daripada latar belakang sosioekonomi berbeza untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti serta peluang pembangunan diri.
Malah, sepanjang tahun lalu, seorang alumni BUDI PNB berjaya menerima biasiswa global bagi meneruskan pengajian di luar negara, sekali gus menunjukkan bagaimana sokongan pendidikan mampu membuka laluan lebih luas kepada pelajar berpotensi.
Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI)
Selain program biasiswa PNB dan BUDI PNB, pembangunan bakat turut diperkukuh menerusi peranan Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI).
YTI memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan perkembangan intelektual menerusi biasiswa pascasiswazah, kerjasama strategik serta inisiatif berkaitan warisan.
Dalam usaha memperkukuh kepakaran profesional, PNB turut memperkenalkan Inisiatif Akauntan Bertauliah dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, INTEC Education College dan Ernst & Young Malaysia.
Inisiatif itu antara lain bertujuan melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera dalam bidang perakaunan yang mempunyai kepakaran serta pengiktirafan di peringkat global.
Evolusi program pendidikan PNB turut dapat dilihat menerusi perubahan tumpuan daripada penyediaan biasiswa kepada pembangunan bakat dalam bidang strategik, selain memperluas akses pendidikan kepada kelompok yang lebih memerlukan. – UTUSAN










