PETALING JAYA: Platform e-dagang memberikan peluang kepada usahawan nano atau usahawan yang beroperasi dari rumah dengan mengurangkan kos untuk tidak perlu menyewa kedai, biaya iklan dan membayar gaji pekerja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi Universiti International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kebanyakan barangan yang dijual di platform e-dagang mendatangkan pendapatan tambahan bagi usahawan kecil selain menawarkan harga lebih murah kepada pengguna.
“Tidak dinafikan ada bahana sekiranya e-dagang berleluasa di dalam negara namun kita harus perhalusi kebaikannya.
“Sebelum dibuat tindakan drastik dengan melarang TikTok Shop di Malaysia, satu pungutan suara dan kajian harus dilakukan untuk mengenal pasti adakah kesan kebaikan melebihi kemudaratan atau sebaliknya.
“Kesan buruk yang dimaklumkan itu ditokok tambah untuk memburukkan platform e-dagang,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, setakat ini belum ada peniaga kedai yang terpaksa menutup kedai ekoran perkembangan e-dagang.
“Tiada yang menghalang peniaga kedai untuk berniaga juga secara atas talian sebaliknya harus mengambil kesan positif yang dihasilkan melalui e-dagang.
“Interaksi sosial masih tetap berlaku walaupun berniaga secara atas talian cuma medium dan cara pelaksanannya berbeza,” jelasnya.
Kata beliau, kerajaan harus memberikan peluang pendidikan, bimbingan dan sokongan kepada peniaga kecil untuk berniaga secara atas talian berbanding menyekat e-dagang.
Terdahulu, Indonesia dijangka bakal mengikuti jejak Amerika Syarikat dan India bagi menghalang aplikasi TikTok daripada memonopoli kegiatan e-dagang di negara tersebut.
Sementara itu, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan yang diperoleh melalui e-dagang pada tahun 2022 merekodkan sebanyak RM1,099.7 bilion, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada suku tahun pertama bagi 2023 pula mencatatkan RM291.7 bilion berbanding suku tahun pertama pada 2022 iaitu sebanyak RM264.3 bilion dengan jumlah perbezaan sebanyak RM27.4 bilion.
Bagi perbandingan dari suku tahun ke suku tahun pula, RM264.3 bilion direkodkan pada suku tahun pertama 2022, meningkat kepada RM273.8 bilion pada suku kedua. – UTUSAN










