SEREMBAN: Pelaksanaan Inisiatif #57 akan memastikan pendidikan murid Orang Asli mempunyai kesamarataan seiring pendidikan arus perdana.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya mahu membawa pendidikan Orang Asli sehingga ke tahap tidak ada jurang dengan sekolah harian biasa.
“Daripada segi lokaliti mereka tidak akan menjadi bandar di kawasan pedalaman sana, namun, tahap pendidikan mereka (Orang Asli) setanding dan mendapat sijil selepas tamat sekolah.
“Selain itu, daripada segi kemahiran dan kepakaran yang ada di bandar juga turut dibawa sama ke kawasan pedalaman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan tahun 2023 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam.
Insiatif #57: Transformasi Pendudikan orang Asli dan Peribumi yang diterajui oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2021-2025.
Karnival Pendidikan Murid Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2023 merupakan julung kalinya diadakan dan selaras dengan ketetapan aktiviti sokongan Sasaran Pencapaian Utama Inisiatif #57 yang memberi fokus kepada kehadiran murid orang Asli dan Peribumi, transisi murid Orang Asli dari Tahun 6 ke Tingkatan 1 dan pencapaian tahap minimum bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Selain itu, karnival berkenaan juga bertujuan memberi peluang dan kesamarataan akses serta memupuk kemenjadian murid Orang Asli dan peribumi.
Seramai 500 murid Orang Asli dan peribumi serta guru pengiring dari sembilan negeri terlibat dalam program tersebut. – UTUSAN










