PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima kira-kira 7,000 unit kamera badan dijangka seawal tahun depan untuk meningkatkan profesionalisme badan penguat kuasa itu dalam melaksanakan tugas membanteras jenayah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan berkata, proses perolehan kamera badan tersebut sedang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM.
Menurut beliau, dalam perolehan fasa pertama pada suku pertama tahun depan, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta yang turut meliputi sistem, peralatan sokongan dan latihan terhadap penggunaan kamera badan tersebut.
Susulan itu, kata beliau, sebanyak 129 syarikat sudah menghantar tender untuk pembekalan kamera badan tersebut pada 24 Mei lalu.
“Fasa pertama kira-kira 7,000 unit kamera badan akan diterima PDRM tetapi ketika ini perolehan tersebut masih di peringkat KDN dengan kesemua tender dihantar akan dinilai KDN sebelum ke jawatankuasa penilaian PDRM untuk pemilihan.
TERIMA
“PDRM dijangka memperoleh kamera badan selepas sembilan bulan surat setuju terima oleh syarikat yang berjaya memperoleh tender,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menggesa kerajaan melengkapkan pegawai penguat kuasa undang-undang dengan kamera badan bagi mengatasi isu rasuah dan juga sebarang kekecohan seperti yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu.
Menurut Jais, ketiadaan kamera badan boleh menyebabkan kontroversi yang tercetus gagal diselesaikan segera dan secara dalaman tetapi dengan pemakaian kamera badan ia akan merungkai punca masalah.
Mengulas lanjut, Sahabudin berkata, perolehan berkenaan mengambil masa kerana perlu melalui proses tertentu bagi memastikan pemberian tender mengikut tatakelola sepatutnya.
“Malah, pemilihan kamera badan bergantung kepada keperluan spesifikasi ditetapkan.
“Ini bagi membantu penguatkuasaan oleh Unit Rondaan Bermotor (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) serta trafik dalam menangani jenayah komuniti,” ujar beliau.
Pada April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan kamera badan pada anggota polis di seluruh negara dijangka dilaksanakan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Beliau dilapor berkata, perolehan dalam fasa terakhir yang melibatkan penelitian oleh jawatankuasa penilaian dan memaklumkan spesifikasi mengenai kamera itu dibangunkan selain pengeluaran dokumen tender.
Menurut Saifuddin, penggunaan kamera badan itu mampu memudahkan pengumpulan bahan bukti dan meningkatkan integriti pasukan polis tetapi ia perlu mengelak manipulasi oleh mana-mana pihak. – UTUSAN










