PRK KKB: Sock Tao yakin mampu tarik undi Melayu

PRK KKB: Sock Tao yakin mampu tarik undi Melayu

Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao (dua dari kiri), beramah mesra dengan orang ramai ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Baharu, di Pasar Pagi Batang Kali, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yakin dapat menarik undi pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang berlangsung pada 11 Mei ini.

Sock Tao berkata, beliau menerima sambutan yang baik daripada pengundi-pengundi Melayu sejak bermulanya kempen pilihan raya.

“Saya telah melawat pasar-pasar di sekitar Batang Kali, di situ banyak pengundi Melayu dan saya juga mendapat sambutan yang baik.

“(Mereka) banyak memberi sokongan dan dokongan kepada saya. Saya rasa galakkan ini banyak memberi semangat pada saya, jadi pada saat ini saya sangat yakin kita boleh kekal di Kuala Kubu Bharu,” kata beliau mengenai keyakinan menarik undi Melayu.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Bharu bakal berlangsung pada 11 Mei ini menyaksikan sebanyak 40,226 jumlah pengundi, di mana 50 peratus daripada jumlah tersebut diwakili oleh pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Sock Tao yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu menepis sentimen yang mengatakan beliau bukan seorang anak tempatan Kuala Kubu Bharu.

“Kuala Kubu Bharu tidak asing kepada saya kerana saya mengikut gerak kerja penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) ini, mendiang Lee Kee Hiong. Macam mana beliau berkhidmat, menganjurkan program dan membawa semangat program kesenian serta kebajikan masyarakat.

“Sepanjang ini, pasukan mendiang telah aktif bekerja dan berkhidmat di Kuala Kubu Bharu (jadi saya) akan kekal bekerjasama dengan ketua-ketua kampung dan ahli-ahli majlis untuk memahami rakyat jadi saya rasa tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Tambahnya, manifesto beliau kini sedang berada di dalam fasa perancangan dan akan dikongsikan kepada umum dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×