PRK Kuala Kubu Bharu: Asalkan bukan undi PH-DAP - Ramasamy - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: Asalkan bukan undi PH-DAP – Ramasamy

Undi PH-DAP
P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: “Undi siapa sahaja asalkan bukan undi Pakatan Harapan (PH)-DAP.”

Demikian penegasan diberikan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang mendakwa beliau turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bagi komuniti India di sana.

Menurutnya, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu boleh memilih Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) atau bebas, asalkan menolak calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.

“Saya turun kempen supaya mereka tidak undi DAP, saya tidak berkempen untuk mana-mana parti. Ada sedikit berbeza dalam pilihan raya yang biasanya kita ada calon, parti, gabungan. Kita turun semata-mata supaya pengundi menolak PH-DAP itu sahaja.

“Saya cuba menjelaskan kepada rakyat di sini, jangan percaya kepada kerajaan, mereka tidak ikhlas, tidak murni dalam perjuangan. Jangan diperalatkan, mereka banyak janji, ada ke janji-janji ditunaikan?

“Kemudian, mereka melukakan hati orang India dengan perkataan ‘keling’, macam mana seorang Perdana Menteri boleh gunakan perkataan seperti itu. Kata kita cemburu, mana tak kita cemburu kalau masyarakat Melayu dapat kita sokong tetapi janganlah beri sedikit macam sebiji-sebiji kepada masyarakat India,” katanya ketika ditemui di Pekan Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Tambahnya, walaupun keputusan dalam pilihan raya berkenaan tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Persekutuan dan negeri jika dimenangi oleh calon selain Sock Tao, namun ia dianggap sebagai pengajaran kepada kepemimpinan di kedua-dua peringkat itu.

“Ini PRK tidak akan menjejaskan Kerajaan Persekutuan atau negeri, tetapi memberi pengajaran kepada PH-DA supaya jangan mempergunakan dan memperalatkan masyarakat India dan lain-lain,” ujarnya.

Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, PH mempertaruhkan, Sock Tao dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei.

Dalam pada itu, Ramasamy yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Kawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turut menempelak DAP dengan dakwaan parti itu tidak multiracial apabila meletakkan calon kaum Cina dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Kenapa tak letak calon Melayu atau India? Tetapi mereka letak itu kroni Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan).

“Saya tidak puas hati, ramai tidak puas hati. DAP pun cakap parti pelbagai kaum, tetapi dia berselindung di bawah konsep multiracial. Sebenarnya parti itu lebih kurang sama dengan parti-parti etnik yang lain,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×