HULU SELANGOR: Para peniaga gerai sekitar Pasar Awam Kuala Kubu Bharu di sini merayu kemudahan awam tersebut segera dibuka bagi memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan dan makanan.
Ini kerana, pasar tersebut didakwa ditutup lebih dua tahun lalu bagi memberi laluan kepada kerja pengubahsuaian, namun sehingga kini masih belum dibuka walaupun proses tersebut didakwa sudah pun selesai.
Seorang pekerja gerai jualan santan kelapa, Kamsiah Ahmad, 60, berkata, ketiadaan pasar tersebut bukan sahaja menyukarkan peniaga untuk berniaga, tetapi penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
“Yang boleh berniaga cuma gerai-gerai di bahagian tepi, tetapi gerai utama yang menjual barangan mentah seperti sayur-sayuran, ayam, ikan dan daging masih belum dibuka. Tak tahulah dengarnya hendak tunggu ada orang rasmikan.
“Macam saya pekerja dan juga penduduk di sini, terpaksa pergi ke gerai sekitar atau ke kedai-kedai luar untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Harganya memanglah lebih mahal berbanding di pasar,” katanya.
Seorang peniaga ikan, yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 62, pula memberitahu, dia diarah pindah dari pasar tersebut sejak 2022 dan mula berniaga dekat gerai luar bangunan utama pada Januari 2023.
“Ingatkan bayar sewa murahlah sebab kena berniaga dekat kaki lima pasar, sekali sewa pun naik. Tak tahulah bila kena pindah masuk nanti, adakah harga akan naik lagi.
“Walaupun diberikan ruang sedikit dekat kaki lima, tetapi pengunjung tak datang, mereka ingat pasar masih tutup. Jadi, pengunjung pergi tempat lain untuk cari ikan, ayam,” ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam berkenaan mendapati gerai-gerai jualan sayur, ikan, ayam dan daging beroperasi di ruang sekitar pasar tersebut, namun kurang menerima kunjungan walaupun pada pagi hujung minggu.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut menjelaskan, beliau akan membawa isu tersebut kepada pihak berkuasa tempatan supaya ia segera diselesaikan.
“Saya sudah dengar rungutan daripada peniaga dan juga pengunjung dekat gerai-gerai sekitar pasar awam tersebut. Memang sudah lama tidak buka. Malah ada pengunjung mendakwa terpaksa pergi ke Pasar Awam Batang Kali hampir 20 kilometer jaraknya dari Kuala Kubu Bharu.
“Justeru, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri digesa segera benarkan peniaga kembali beroperasi di pasar tersebut. Bangunanya cantik berwarna-warni, tidak patut kalau dibiarkan tidak beroperasi untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN










