Bersekutu Bersatu gesa SPR siasat parti guna gambar Agong - Utusan Malaysia

Bersekutu Bersatu gesa SPR siasat parti guna gambar Agong

Gambar Agong
CHONG Fat Full menunjukkan gambar kenderaan yang didapati mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika kempen PRK Kuala Kubu Bharu, dalam sidang akhbar di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Sayap Bersekutu Parti Bersatu, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat tindakan pihak yang sengaja membawa gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.  

Ketuanya, Dr. Chong Fat Full berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana jelas bertentangan dengan peraturan pilihan raya.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ini merupakan satu kegiatan yang menyangkal peraturan pilihan raya.

“Ia seakan-akan memberi gambaran Yang di-Pertuan Agong menyokong calon parti dan itu merupakan satu kesalahan yang amat besar di bawah peraturan pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Sebelum itu, beliau mendakwa semalam terdapat terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dilihat menyalahgunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika berkempen bagi PRK Kuala Kubu Baharu.

Gambar Seri Paduka didakwa dipamerkan pada kenderaan sambil bergerak secara perlahan di kawasan pilihan raya.

Dalam pada itu, Fat Full memaklumkan laporan polis berhubung tindakan tersebut sudah pun dibuat pada hari sama supaya tindakan segera dapat diambil.

“Gambar atau poster Yang di-Pertuan Agong tidak wajar digunakan sesuka hati dan kita perlu hormat pihak baginda. Saya memuji pihak polis kerana sangat cepat bertindak untuk menangani insiden ini. 

“Dua suspek ditangkap kerana menyalahgunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dan kami berharap SPR mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau berharap semua parti yang bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu akan berkempen secara sihat, bermoral dan berintegriti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×