NIBONG TEBAL : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan bahawa Pas tidak turun membantu kempen parti itu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, bulan lepas.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pas memberikan komitmen yang luar biasa ketika itu.
“Daripada Presidennya, Tuan Guru (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, Timbalan (Presiden), Setiausaha serta semua Naib Presiden berada di situ (Kuala Kubu Bharu) sejak penamaan calon sehingga selesai pilihan raya.
“Jentera (Pas) di KKB (Kuala Kubu Bharu) juga adalah jentera PN (Perikatan Nasional). Jadi, tanggapan itu (Pas tidak membantu kempen Bersatu) adalah tidak berasas,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat PAS kawasan Nibong Tebal, di sini, malam ini yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Hadir sama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pimpinan tertinggi parti-parti komponen PN sama ada di peringkat pusat atau negeri.
Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam ucapannya menyatakan ikrar parti itu untuk membantu kempen Pas pada PRK DUN Sungai Bakap selepas ini.
“Kami, PPBM (Bersatu) malam ini berikrar di depan (semua) pimpinan Pas bahawa kami akan berkampung di Sungai Bakap kerana calon Pas adalah calon PN.
“Jadi, kami akan masuk dan berkhidmat sebagai Perikatan Nasional dan InsyaAllah kita juga akan menang sebagai PN di Sungai Bakap pada 6 Julai nanti,” kata beliau.
Tambah Mohamed Azmin, walaupun pihaknya menerima pelbagai tohmahan daripada musuh politik yang melemparkan tuduhan termasuk melabel mereka sebagai pelampau dan ekstremis, namun katanya, mereka tetap memilih jalan demokrasi untuk berkuasa.
“Kita bukan guna parang mahu pun pedang, tetapi, senjata yang akan kita gunakan adalah fakta dan ilmu supaya rakyat Sungai Bakap akan terus bangkit bersama-sama dengan PN dalam PRK ini,” ujar beliau.-UTUSAN










