ARAU: Penyatuan antara Pas dan UMNO jauh lebih penting berbanding soal pengagihan kerusi yang boleh diselesaikan kemudian.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pas membuktikan keikhlasan kerjasama melalui agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri SG4 terutama Terengganu adalah tidak sewajarnya ketika penyatuan dua parti itu semakin hampir.
Katanya, UMNO dan Pas sudah berpuluh tahun bergaduh dan apabila sudah ada peluang bersama, jangan memulakan titik perpecahan dengan kenyataan tidak sesuai.
Beliau berkata, soal agihan kerusi pilihan raya adalah perkara kecil berbanding usaha untuk menyatupadukan UMNO dan Pas.
“Tidak sesuai kenyataan seperti itu dan kita sepatutnya bergerak ke depan. Berpuluh-puluh tahun UMNO dan Pas bergaduh, tiba-tiba perkara-perkara kecil seperti ini dibangkitkan yang boleh menjadi halangan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan.
“Jangan cari titik perpecahan antara UMNO dan Pas sebaiknya fokus kepada usaha penyatuan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, Mohamad dilaporkan berkata, PRN di satu negeri dalam gabungan SG4, khususnya Terengganu wajar dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik menjalin kerjasama.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau dilaporkan berkata, cadangan itu boleh membuktikan sama ada kerjasama atas nama penyatuan ummah Melayu benar-benar ikhlas atau sekadar menguntungkan satu pihak.
Saranan Mohamad itu turut mengundang tidak selesa pemimpin Pas antaranya, Ketua Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menegaskan bahawa keikhlasan Pas tidak perlu diuji kerana UMNO sendiri tidak melepaskan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyifatkan tiada keperluan untuk Terengganu mengadakan PRN berikutan keadaan negeri itu yang stabil dan pencapaian pentadbirannya sangat baik.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim turut melihat kenyataan Mohamad itu sebagai tidak munasabah dan menasihatkan agar kedua-dua parti tersebut menjalinkan kerjasama terlebih dahulu sebelum berbincang soal pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sementara itu, Hashim berkata, hubungan Pas dan UMNO yang semakin baik ketika ini perlu diperkukuhkan dan penyatuan juga menjadi harapan rakyat di negara ini.
“Penyatuan adalah lebih besar berbanding kerusi pilihan raya dan jangan disebabkan kerusi pilihan raya tersebut, kita kembali berpecah. Saya juga melihat orang Pas lebih bersedia ke arah kerjasama dengan tidak ada nada-nada daripada kepemimpinan menolak penyatuan.
“Perkemaskan usaha ke arah perpaduan Pas dan UMNO. Jangan asyik sibuk persoal kerusi kerana ia mampu diselesaikan apabila tiba masanya,” katanya. – UTUSAN










