SEWAKTU saya bersekolah dahulu, saya ada seorang rakan yang berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan tinggi atau dikenali golongan T20. Dia tidak pernah berasa kesukaran dalam hidup. Hidup dia mewah.
Peralatan menulis dia lengkap, semua berjenama. Pergi dan balik sekolah pun ada pemandu peribadi menjemput. Dia anak tunggal dan apa yang dikehendaki mesti akan diperoleh.
Selain membawa bekal ke sekolah yang berisi makanan yang lazat dan mewah disediakan oleh pembantu rumah, dia juga membawa wang saku yang banyak untuk berbelanja.
Dalam dompetnya ada wang kertas not merah belasan keping. Pada zaman 1990-an, kanak-kanak sekolah rendah membawa wang kertas not merah setiap hari sememangnya membuktikan mereka golongan ‘berada’.
Saya masih ingat pada zaman itu, saya hanya dibekalkan syiling 20 sen, ada kala 50 sen setiap hari. Itu pun besar rahmat. Syukur kerana dapat juga menjamah bihun goreng dan air sirap di kantin sekolah.
Nasib baik jarak rumah saya dengan sekolah hanya satu kilometer. Boleh berjalan kaki atau menaiki basikal sahaja. Jimat duit tambang bas atau van.
Kemewahan rakan saya ini sememangnya memakan dirinya sendiri. Saya lihat dirinya tidak boleh berdikari. Dia kuat menangis dan bersikap sedikit manipulatif, semua rakan perlu ikut cakapnya.
Dia miliki wang dan dia percaya dia berkuasa. Ramai rakan tunduk kepadanya.
Bagaimanapun, saya membesar dan tetap berkawan baik dengannya. Tidak semua mengenai dirinya tidak baik.
Apabila meningkat remaja, berkali-kali dia mengeluarkan ayat bahawa dia akan mewarisi kekayaan bapanya yang memiliki beberapa kilang. Dia juga memberitahu yang dirinya tidak perlu belajar dengan rajin dan tekun kerana sudah memiliki segala-galanya. Dia akan mengurus kilang-kilang itu, janji bapanya.
Namun, setelah menamatkan zaman persekolahan, saya tidak lagi berhubungan dengannya. Kali terakhir, selepas 20 tahun, saya mendapat khabar, hidupnya tidak seperti dahulu. Berubah 360 darjah.
Bapanya jatuh muflis sewaktu kegawatan ekonomi dan nasib keluarga mereka juga berubah. Dia bukan siapa-siapa lagi. Kini dia hanya bekerja makan gaji. Sama seperti saya.
Kisah rakan saya ini banyak memberi pengajaran dan hikmah kepada semua.
Apa pun, minggu ini, saya juga mahu berkongsi mengenai kisah benar dari Beijing, China. Seorang jutawan di China menyembunyikan kekayaan luar biasa selama 20 tahun sehingga anak lelakinya itu menamatkan pengajian di universiti.
Lapor South China Morning Post, Zhang Yudong merupakan Pengasas dan Presiden Mala Prince (jenama makanan ringan berempah) yang menghasilkan produk bernilai 600 juta yuan (RM392 juta) setahun.
Hartawan itu mempunyai anak bernama Zhang Zilong yang memberitahu, bapanya pernah berbohong mengenai status kewangan keluarganya.
Bapanya mendedahkan kononnya mempunyai bebanan hutang yang besar bagi memastikan operasi perniagaan jenama terkenal itu kekal utuh.
Selepas menamatkan pengajian di universiti, dia berjaya memperoleh pekerjaan yang bagus dengan gaji bulanan 6,000 yuan (RM3,926).
Sejak itu, dia mula membantu keluarganya untuk membayar semula hutang.
Akhirnya, bapanya membongkarkan rahsia dan mendedahkan kekayaan sebenar mereka sekeluarga.
Bagaimanapun, kedua-dua kisah ini amat memberi pengajaran yang baik kepada kita semua. Kata kuncinya adalah sikap bertanggungjawab, berakhlak tinggi, berdikari dan merendah diri.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










