RASANYA sudah sebulan lamanya topik suami curang berlegar-legar dalam ruang maya membabitkan artis-artis terkenal tanah air. Malah, topik yang mencetuskan drama itu mendapat tindak
balas dan komen yang bermacam ragam dalam kalangan warganet.
Rata-ratanya mengecam tindakan seorang artis lelaki yang dikatakan curang lebih 11 kali kepada pasangannya. Seperti biasalah, yang salah semuanya lelaki. Betul tak? Eh, bukan.
Apa pun, curang ini tidak mengenal jantina. Wanita juga tidak berkecuali untuk berlaku curang kepada pasangannya. Selagi namanya manusia, kita sama sahaja. Sesungguhnya kesetiaan itu mahal harganya dan ia tidak boleh dijual beli.
Minggu ini, saya ingin berkongsi mengenai kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri dari China.
Ketabahan seorang isteri yang setia berada di samping suaminya terbalas apabila lelaki itu tersedar daripada koma selepas 10 tahun.
Lapor South China Morning Post, Su Hongxia dari wilayah Anhui, China tidak pernah berputus asa dan sentiasa berharap suaminya akan pulih selepas berada dalam keadaan separuh sedar akibat serangan jantung pada 2014.
Siapa sangka sikap dedikasi serta penjagaan penuh kasih sayang dan seikhlas hatinya selama bertahun-tahun akhirnya membantu suaminya pulih.
Hongxia berkata, walaupun dia berasa letih sepanjang 10 dekad ini, kepenatan itu akhirnya terbalas selepas keluarganya dapat disatukan semula.
Klip video pasangan itu dikatakan tular dalam media sosial di China yang menunjukkan Hongxia duduk di sebelah suaminya yang terjaga dari koma di atas katil.
Di dalam video berkenaan, air mata menitis di wajah lelaki itu apabila isterinya menceritakan perubahan yang berlaku kepadanya sejak beberapa tahun lalu.
Berkongsi kesabaran melalui ujian hidup itu, wanita itu berkata, dua anaknya sentiasa menjadi inspirasi kepadanya untuk terus kuat dan tidak berputus harapan.
Katanya, dia juga mahu menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.
Koma berpanjangan menyebabkan beberapa masalah fizikal sehingga lelaki itu perlu menjalani prosedur pembedahan trakeostomi untuk membantunya bernafas dan membuang air kecil.
Walaupun usaha penjagaan itu menuntut tanggungjawab besar, dedikasinya tidak pernah goyah mahupun pudar ditelan arus masa.
Pengorbanan wanita itu menyentuh hati bapa mentuanya yang bersyukur kerana memiliki menantu sepertinya.
Kisah realiti itu menyentuh hati pengguna media sosial sehingga menyifatkan ia sebagai kisah cinta sejati dan lelaki itu bertuah kerana berkahwin dengan wanita persis seorang ‘malaikat’.
Begitulah berharganya nilai kesetiaan seseorang yang perlu dijadikan contoh tauladan kepada semua.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










