Kekayaan atau nyawa jika gunung berapi muntah emas - Utusan Malaysia

Kekayaan atau nyawa jika gunung berapi muntah emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA mengenai letusan gunung berapi, Gunung Ruang di Indonesia baru-baru ini amat menakutkan kerana pihak berkuasa meramalkan potensinya mencetuskan tsunami.
Malah, dilaporkan lebih 11,000 penduduk sekitar terpaksa dipindahkan pasukan penyelamat ke tempat yang lebih selamat.

Bahkan, operasi penerbangan turut terjejas sehingga menyebabkan beberapa lapangan terbang terpaksa ditutup termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ini berikutan abu gunung berapi itu terlalu tebal memenuhi ruang udara selain menghalang pandangan dan berisiko untuk penerbangan.

Difahamkan, pihak berkuasa meletakkan amaran berjaga-jaga kepada penduduk berikutan gunung berapi berkenaan masih aktif selain berpotensi meletus dan mengeluarkan lava.

Bagaimanapun, gunung berapi merupakan bencana alam yang sukar dibendung dan sukar diramalkan.

Mujur, Malaysia terlindung daripada bencana tersebut berikutan berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
Bagaimanapun, sebagai negara jiran, kesannya turut dirasai seperti pencemaran udara yang turut menjejaskan sistem penerbangan.

Minggu ini, saya ingin bercerita mengenai gunung berapi yang bukan membawa malapetaka sebaliknya memberi sumber kekayaan.

Sebuah gunung berapi aktif di Antartika dilaporkan memuntahkan debu emas bernilai kira-kira AS$6,000 (RM28,662) hampir setiap hari.

Menurut portal IFL Science, Gunung Erebus, salah satu gunung berapi paling aktif dan paling selatan di bumi, dianggarkan mengeluarkan kira-kira 80 gram emas setiap hari.

Para saintis mendapati letusan gas yang dihamburkan gunung tersebut sarat dengan kristal kecil emas metalik.

Debu emas dari Gunung Erebus dilaporkan boleh bergerak jauh dan luas dengan penyelidik menemui kesan emas di udara sehingga 999.4 kilometer dari gunung berapi tersebut.

Gunung berapi itu terletak di atas kepingan kerak nipis, membolehkan batu cair naik dengan mudah dari perut bumi.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), ia kerap mengeluarkan kepulan gas dan wap dan kadang kala mengeluarkan batu vulkanik dalam letusan strombolian.

Jelas Institut Smithsonian, Gunung Erebus menghadap ke stesen penyelidikan McMurdo di Pulau Ross dan mempunyai tasik lava di kawah puncak yang kekal aktif sejak 1972.

Kerana gunung berapi itu berada di lokasi terpencil, penyelidik memantaunya menggunakan satelit.
Dalam laporan berita berkenaan, tidak dinyatakan mengenai reaksi penduduk berhampiran atau pencari emas berhubung kemunculan debu berharga berkenaan.

Mungkin ramai masih rasional memikirkan mana yang lebih penting, di antara emas atau nyawa.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN