Bagaimana tingkatkan ekonomi, peluang pekerjaan berkualiti? - Utusan Malaysia

Bagaimana tingkatkan ekonomi, peluang pekerjaan berkualiti?

Industri kecil dan sederhana (IKS) kurang terlibat dalam proses penjanaan kekayaan atau wealth creation di mana walaupun ia merupakan 97 peratus daripada jumlah establishment, sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya kira-kira 33 peratus sahaja. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rancangan pembangunan lima tahun selalu meletakkan banyak objektif atau sasaran yang hendak dicapai dalam tempoh lima tahun. Tempoh lima tahun itu mungkin agak singkat untuk mencapai kesemua sasaran pembangunan kerana setiap program dan projek memerlukan masa untuk penelitian, perancangan rapi dan pelaksanaannya.

Tambahan pula, setiap rancangan lima tahun itu pula dipaksikan kepada jumlah peruntukan pembangunan dalam belanjawan tahunan kerajaan yang selalu dibentangkan di Parlimen dalam Oktober setiap tahun.

Kadangkala objektif yang lama belum tercapai, tetapi rancangan baharu sudah menetapkan objektif baharu, sedangkan masalah lama masih belum diselesaikan. Sistem belanjawan sektor awam bukan sahaja mengambil kira input dan output, tetapi ia juga kini memerlukan penilaian impak setiap program dan projek.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai contoh, input program adalah perbelanjaan ke atas gaji dan upah pekerja, manakala output adalah pembinaan sekolah atau klinik, atau parit untuk kawasan pertanian. Impaknya adalah sama ada kualiti hidup dan tahap pencapaian persekolahan telah bertambah baik serta kemiskinan telah berkurangan.

Sistem belanjawan ini dengan itu boleh memberi pengukuran ke atas pencapaian sesuatu dasar dan kesan atau impak sesuatu program itu.

Ia juga boleh digunakan untuk mengurangkan pertindihan dasar atau program dan dengan itu boleh dikurangkan masalah peruntukan berlebihan (over budgeting).

Baru-baru ini, Universiti Malaya telah diminta untuk mengadakan wacana awam bagi mendapatkan cadangan-cadangan bagaimana Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) boleh diperbaiki dan diperkukuhkan lagi agar pencapaian dasar yang diliputi oleh RMK13 itu lebih tuntas dan lebih berkesan.

Pada pokoknya, bagaimana kita boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan bermutu tinggi, meningkatkan complexity and diversity kepada keluaran dan eksport negara agar kita boleh mencapai kedudukan negara maju dalam masa terdekat.

Saya juga telah dijemput untuk menyertai wacana berkenaan dan kesempatan itu saya gunakan untuk meneliti masalah struktur ekonomi negara yang merupakan isu-isu yang masih berlarutan sepanjang tempoh beberapa rancangan pembangunan lima tahun lalu.

Pertama, negara kita bergantung kepada perdagangan atau eksport dan import, dan jumlah eksport dan import kita melebihi 100 peratus daripada jumlah KDNK. Isunya adalah jumlah eksport bersih tidaklah begitu besar, mungkin dalam anggaran 20 peratus sahaja kerana eksport kita mengandungi barang import yang sangat tinggi.

Oleh itu, sumbangan kepada pertambahan pendapatan negara atau value addition tidaklah begitu ketara.

Kedua, kita sangat bergantung kepada pelaburan asing, khususnya industri elektrik dan elektronik yang berpusat di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. Ini bermakna keuntungannya akan dibawa keluar dan ini jelas kelihatan dari rekod Balance of Payments atau Imbangan Pembayaran, satu akaun yang menunjukkan neraca aliran bayaran (inflows and outflows) antarabangsa untuk negara kita.

Di samping itu, kebanyakan perniagaan dan industri tempatan adalah dalam bidang pembinaan, komoditi seperti pengeluaran kelapa sawit, industri utiliti seperti tenaga dan telekom, serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang kurang terlibat dalam proses penjanaan kekayaan atau wealth creation.

Walaupun IKS merupakan sebanyak 97 peratus daripada jumlah establishment, sumbangannya kepada KDNK adalah kira-kira 33 peratus sahaja. Sumbangannya perlu dipertingkatkan lagi khususnya dalam kalangan industri penengah (medium scale industries) berjumlah 17,000 syarikat.

Kalau semua masalah struktur ini perlu dibaiki, maka prosesnya adalah meningkatkan peranan modal insan dan bakat serta kemahiran dalam proses pembangunan kita. Kepakaran teknikal, khususnya dalam bidang designing boleh meningkatkan pemindahan teknologi ke Malaysia dan dengan itu mengatasi isu complexity and diversity dalam struktur keluaran sektor pembuatan kita.

Perbincangan di atas menyebabkan tajuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan peranannya terpanggil untuk dibahaskan seterusnya.

R&D adalah asas bagi wujudnya creativity and innovation dalam masyarakat kita, khususnya industri kita.

Dari R&D akan wujud dapatan-dapatan atau harta intelek yang boleh dipatenkan dan jadi asas pembuatan banyak produk menggunakan paten yang sama.

Sejauh mana R&D kita telah banyak menghasilkan paten dan dikomersialkan menjadi produk untuk penggunaan dan eksport untuk tujuan complexity and diversity keluaran negara?

Isu R&D ini juga adalah sebahagian daripada dasar dan amalan kita mengurus dan memajukan harta intelek negara yang juga merupakan aset dan kekayaan negara.

Satu dasar yang konkrit untuk menghubungkan antara universiti, industri dan Kerajaan dalam mengurus R&D, urusan harta intelek, teknologi dan pengkomersialan bertujuan mencari strategi mencapai complexity and diversity produk dan keluaran sepatutnya menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan industri, khususnya sektor pembuatan.

Adakah peranan ini perlu diletakkan di atas bahu MITI atau Kementerian Sains dan Teknologi atau kepada Kementerian Ekonomi?

Masalah institusi serta efikasinya juga perlu diselidiki. Banyak isu agensi bergerak dalam silos tidak memungkinkan Malaysia mendapat dan menggunakan harta intelek negara sepenuhnya.
Selain perkara-perkara penting di atas, isu institusi serta pembangunan adalah penting juga diteliti.

MIDA memainkan peranan yang penting untuk membawa industri masuk ke negara ini dan dengan demikian membantu proses industrialization dan penerapan teknologi dalam industri kita.
MIDA mungkin tidak mempunyai pertalian yang rapat dengan industri dan MIDA mempunyai cawangan di luar negara, khususnya negara berteknologi tinggi.

Sumber kewangan yang cukup daripada kerajaan untuk kegiatan penggalakkan industri dan sebagainya memerlukan bajet yang cukup untuk menjadikan MIDA lebih berkesan seperti Economic Development Board (EDB) di Singapura. EDB diberikan sumber kewangan yang banyak di samping autonomi yang cukup untuk membawa industri.

Sebagai bekas Pengerusi MIDA, saya berpendapat sudah sampai masanya MIDA diberi lebih pengiktirafan atas peranannya dalam memajukan industri, khususnya sektor pembuatan.

Kita perlu mengambil tindakan supaya MIDA diberikan peruntukan yang besar dan kuasa yang mencukupi untuk membawa masuk sekumpulan industri berteknologi tinggi serta mewujudkan pekerjaan yang mempunyai produktiviti tinggi di Malaysia.

Langkah ini boleh menjadikan satu kluster atau gugusan industri baharu sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Cluster baharu ini akan memerlukan satu ecosystem, supply chain and value chain yang baharu, yang boleh mewujudkan struktur industri yang baharu dalam satu dekad, misalnya. Rakyat Malaysia juga akan mendapat kemahiran yang baharu dan sesuai untuk masa hadapan negara.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif MIER

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini