PETALING JAYA: Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM350.4 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 20.7 peratus berbanding RM290.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Jumlah pelaburan itu membabitkan sebanyak 4,387 projek dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang dijangka mewujudkan 152,090 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi berkenaan membuktikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Tumpuan bukan sahaja kepada nilai pelaburan yang diluluskan, malah impaknya terhadap pewujudan pekerjaan berkualiti tinggi, khususnya dalam bidang bernilai tinggi seperti reka bentuk cip, elektronik termaju dan kejuruteraan jitu.
“MIDA turut bekerjasama dengan pemain industri serta rakan pendidikan bagi memastikan pembangunan bakat tempatan seiring dengan keperluan pelabur, sekali gus memperkukuh ekosistem perindustrian negara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kelulusan pelaburan hanya satu pencapaian awal, manakala pelaksanaan projek menjadi penentu kepada pewujudan kilang, aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan sebenar.
“Kelulusan adalah satu pencapaian penting, tetapi pelaksanaan yang menghasilkan kilang, aktiviti perniagaan dan pekerjaan.
“Peranan MIDA adalah bekerjasama dengan pelabur serta rakan kerajaan bagi menangani isu pelaksanaan dan menghubungkan projek pelaburan dengan pembekal tempatan serta tenaga kerja berbakat,” katanya.
Pelaburan asing menyumbang RM212.3 bilion atau 60.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, meningkat 40.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala pelaburan domestik berjumlah RM138.1 bilion, susut satu peratus.
Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai sumber pelaburan asing terbesar dengan RM60 bilion, meningkat lebih lima kali ganda berbanding RM11.3 bilion sebelumnya, diikuti China sebanyak RM38.6 bilion, Singapura (RM38.5 bilion), Jepun (RM24.4 bilion) dan Australia (RM12.6 bilion).
Mengikut sektor, perkhidmatan mendahului dengan pelaburan RM219.1 bilion atau 62.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, meningkat 14.2 peratus berbanding RM191.7 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. Sebanyak 2,993 projek diluluskan dalam sektor itu yang dijangka menyediakan 59,273 peluang pekerjaan.
Subsektor maklumat dan komunikasi menjadi penyumbang terbesar dengan RM133.5 bilion, diikuti hartanah sebanyak RM47.9 bilion, perkhidmatan sokongan (RM19.3 bilion), utiliti (RM5.8 bilion) dan perdagangan pengedaran (RM5.1 bilion).
Pelaburan berkaitan pusat data dan pengkomputeran awan sahaja berjumlah RM123.5 bilion menerusi 86 projek, meningkat 44.5 peratus dan mewakili 35.2 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan.
Sektor pembuatan pula merekodkan pelaburan RM106.3 bilion menerusi 1,353 projek, meningkat 13.3 peratus, manakala jumlah projek bertambah 53.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu menunjukkan pemulihan sektor berkenaan selepas nilai pelaburannya menyusut 25.1 peratus pada separuh pertama tahun ini, disokong kelulusan projek utama dalam pengeluaran transceiver optik untuk pusat data kecerdasan buatan (AI) serta pemprosesan gas asli cecair (LNG).
Subsektor elektrik dan elektronik (E&E) mendahului pelaburan pembuatan dengan RM40.8 bilion, meningkat 85.3 peratus, diikuti produk petroleum termasuk petrokimia sebanyak RM13.2 bilion, jentera dan peralatan (RM9.4 bilion), produk logam asas (RM6.7 bilion) serta pembuatan makanan (RM6.4 bilion).
Segmen elektronik industri serta komponen elektronik dan semikonduktor menyumbang 89.7 peratus daripada keseluruhan kelulusan pelaburan dalam subsektor E&E.
Sementara itu, sektor utama mencatatkan pelaburan RM25 bilion atau 7.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Dari segi taburan lokasi, Johor muncul destinasi pelaburan utama dengan RM99.7 bilion, diikuti Selangor (RM87.9 bilion), Pulau Pinang (RM41.1 bilion), Kuala Lumpur (RM37.3 bilion) dan Sabah (RM19.5 bilion). – UTUSAN











