SINGAPURA: Digital Realty menyasarkan untuk terus memperluas kehadirannya dalam industri pusat data di Malaysia, termasuk menilai peluang pelaburan strategik di Johor susulan kedudukan negeri itu yang berhampiran Singapura.
Syarikat penyedia penyelesaian pusat data global itu berkata, Malaysia merupakan antara pasaran yang telah dinilai sejak beberapa tahun lalu sebelum memulakan operasi dan pelaburan di negara ini tahun ini.
Pengurus Besar rantau Asia Tenggara dan India Digital Realty, Govind Choudhary berkata, syarikat telah mengambil alih sebuah fasiliti pusat data sedia ada di Cyberjaya selain memperoleh sebuah lagi fasiliti serta kawasan tanah bagi menyokong rancangan pengembangannya.
Menurutnya, urus niaga pengambilalihan yang diselesaikan pada Mei lalu memberikan syarikat kapasiti pusat data sebanyak 32 megawatt (MW).
“Malaysia merupakan pasaran yang sangat penting kepada kami dan kami sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan operasi di negara ini.
“Kami juga sedang menilai pasaran Johor yang dilihat strategik berikutan kedudukannya yang berhampiran Singapura serta mempunyai hubungan rapat dengan ekosistem pusat data serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Digital Realty turut mempertimbangkan peluasan keupayaan makmal inovasinya ke Malaysia bagi membolehkan pelanggan tempatan mengakses teknologi dan kemudahan ujian pusat data terkini.
Menurutnya, makmal inovasi kedua syarikat di Asia telah mula diperkenalkan, selepas kemudahan pertama diwujudkan di Tokyo, Jepun, manakala Singapura berperanan sebagai hab serantau sejak sekian lama.
Katanya, pelanggan dari Malaysia dan Indonesia ketika ini boleh memanfaatkan kemudahan makmal di Singapura untuk menguji dan meneroka penyelesaian teknologi yang ditawarkan.
“Kami sedang mengembangkan keupayaan secara berperingkat dan akan menilai kesesuaian untuk membawa kemudahan tersebut ke pasaran lain, termasuk Malaysia.
“Bagaimanapun, keputusan mengenai tarikh dan jadual pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan syarikat itu sedang mengembangkan kapasiti operasinya susulan kejayaan memperoleh komitmen awal bagi tambahan kapasiti sebanyak 50MW.
Mengulas penggunaan tenaga boleh baharu, Digital Realty menegaskan komitmennya untuk mendapatkan sumber tenaga lebih mampan di semua pasaran operasinya, termasuk Malaysia.
Katanya, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar tenaga tempatan, termasuk TNB Renewables, bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembekalan tenaga boleh baharu.
Menurutnya, kerjasama dengan pemain industri tempatan serta pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan keperluan tenaga pusat data dapat dipenuhi secara mampan.
Dalam pada itu, Digital Realty turut memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan bagi menyokong pertumbuhan industri pusat data negara.
Syarikat itu kini mempunyai lebih 55 pekerja di Malaysia dan merancang menambah pengambilan tenaga kerja apabila operasi serta pembangunan fasiliti baharu diperluaskan.
Menurutnya, pembangunan kemahiran pekerja tempatan menjadi antara keutamaan syarikat menerusi akses kepada program latihan dan pembelajaran global.
Katanya, semua pekerja Digital Realty di Malaysia diberikan akses kepada platform pembelajaran digital global syarikat bagi membolehkan mereka meningkatkan kemahiran serta mengikuti perkembangan teknologi terkini.
Selain itu, kerjasama dengan DCD Academy akan diperluaskan bagi menyediakan akses kepada pelbagai program pensijilan profesional dalam bidang pusat data.
Beliau berkata, syarikat itu juga sedang meneroka kerjasama dengan universiti di Malaysia dan beberapa negara lain bagi memperkenalkan peluang kerjaya dalam industri pusat data kepada golongan pelajar.
“Antara inisiatif yang dipertimbangkan termasuk membawa pelajar melawat fasiliti pusat data supaya mereka dapat memahami operasi, teknologi serta peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan,” katanya. – UTUSAN









