Mara perkukuh penguasaan bumiputera dalam industri automotif

Mara perkukuh penguasaan bumiputera dalam industri automotif

MAHZAN TEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkukuh penyertaan dan penguasaan usahawan bumiputera dalam industri automotif negara menerusi pembangunan ekosistem perniagaan yang lebih bersepadu, berdaya saing dan berorientasikan teknologi bernilai tinggi.

Usaha itu selaras dengan sasaran Mara untuk meningkatkan nilai jualan usahawan automotif bumiputera kepada RM1 bilion menjelang 2027.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mahzan Teh berkata, penganjuran Mara Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 pada 27 hingga 29 November ini menjadi antara platform untuk memperkukuh ekosistem automotif bumiputera dengan menghimpunkan usahawan, pemain industri, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan bagi memperluas jaringan perniagaan serta kerjasama strategik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, MARA telah membangunkan 534 usahawan automotif yang turut menyumbang kepada pewujudan lebih 2,400 peluang pekerjaan.

“Pencapaian itu menjadi asas kepada usaha memperluas penglibatan bumiputera dalam rantaian nilai industri automotif, termasuk sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan dan nilai tambah lebih tinggi.

“Mara turut memberi penekanan kepada pembangunan usahawan secara menyeluruh, merangkumi latihan kemahiran, pembiayaan, pengurusan perniagaan dan kerjasama strategik dengan pemain industri,” katanya hari ini.

Mahzan berkata, pengurusan perniagaan dan kewangan menjadi antara aspek penting dalam memastikan kelangsungan bengkel bumiputera, khususnya yang berdepan cabaran selepas lima hingga lapan tahun beroperasi.

Sehubungan itu, tambahnya, Mara melaksanakan kerjasama strategik seperti Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP) bagi membantu memperkukuh daya tahan perniagaan pengusaha automotif tempatan.

Dalam masa sama, beliau berkata, pembangunan modal insan terus menjadi komponen penting agenda automotif Mara, dengan 270 institusi pendidikannya memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Daripada jumlah itu, ujarnya, 30 peratus memfokuskan bidang automotif bagi menyokong keperluan tenaga mahir dalam industri berkenaan.

“MATEC 2026 turut mengetengahkan tiga aspirasi utama, iaitu Future Automotive, TVET Excellence dan Electric Mobility, bagi memperluas pendedahan usahawan serta generasi muda kepada perkembangan teknologi automotif.

“Selain pameran teknologi dan inovasi, penganjuran itu menyediakan ruang kepada usahawan untuk membina jaringan industri, meneroka peluang pasaran serta mengembangkan kerjasama perniagaan,” katanya.

MATEC 2026 dijadual berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula 27 November ini, dengan sasaran kehadiran 300,000 pengunjung. Kemasukan adalah percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini