Dihalau keluar pesawat kerana bau badan? - Utusan Malaysia

Dihalau keluar pesawat kerana bau badan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GARA-gara bau badan, anda boleh dihalau keluar dari pesawat yang dinaiki. Bunyinya agak pelik dan tidak logik bukan?

Bayangkan, seorang pramugara mengarahkan anda keluar dari pesawat kerana terdapat penumpang lain mengadu bahawa badan anda mengeluarkan bau tidak enak.
Atau pun sebenarnya mungkin wujud peraturan berkenaan dalam sistem penerbangan dunia. Saya pun kurang periksa.

Sepanjang pengetahuan saya, tiada kes seumpamanya, malah, kru kabin dalam mana-mana syarikat penerbangan memberi layanan terbaik kepada setiap penumpang mereka.

Apa pun, tindakan menghalau penumpang dari pesawat kerana bau badan adalah memalukan apatah lagi jika dihalau secara berkumpulan dengan kaum yang sama.
Dengan mata kasar, peristiwa seperti ini jelas berobjektif selain menunjukkan sifat perkauman yang ketara.

Di Washington, Amerika Syarikat, tiga lelaki kulit hitam memfailkan saman diskriminasi perkauman terhadap syarikat penerbangan, American Airlines dengan mendakwa bahawa syarikat penerbangan itu mengeluarkan mereka dari penerbangan selepas aduan tentang bau badan.

Plaintif yang memfailkan saman dan tidak mengenali antara satu sama lain mengatakan bahawa setiap lelaki kulit hitam dikeluarkan dari penerbangan itu pada 5 Januari lalu dari Phoenix, Arizona, ke New York.

Namun, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Texas itu berkata, mereka sedang menyiasat perkara itu kerana dakwaan berkenaan tidak selari dengan nilainya.

Menurut tuntutan undang-undang yang difailkan oleh kumpulan advokasi pengguna Public Citizen, lelaki itu mengambil tempat duduk mereka dan bersiap untuk berlepas dari Phoenix apabila seorang pramugari menghampiri setiap seorang daripada mereka dan meminta mereka keluar dari pesawat.

Alvin Jackson, Emmanuel Jean Joseph, dan Xavier Veal mendakwa bahawa semasa mereka berlepas mereka menyedari setiap lelaki kulit hitam dalam penerbangan dialih keluar.

Di pintu masuk penerbangan, tiga lelaki itu, bersama lima yang lain, diberitahu oleh ejen syarikat penerbangan bahawa mereka dibuang kerana seorang pramugara kulit putih mengadu tentang bau badan penumpang yang tidak dikenali.

Peristiwa ini benar-benar berlaku. Jika benar tindakan pramugara berkenaan bersifat perkauman, ia tidak boleh diterima.

Pada zaman ini, isu perkauman seperti ini sepatutnya tidak perlu wujud kerana ia merupakan perkara tabu dalam masyarakat.

Jika benar wujud isu bau badan dalam pesawat sekalipun, mengalih keluar dari pesawat bukan cara yang tepat dan bijak.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN