Hukuman tidak mampu kembalikan Muhammad Zaharif - bapa - Utusan Malaysia

Hukuman tidak mampu kembalikan Muhammad Zaharif – bapa

BAPA Muhammad Zaharif Affendi, Muhd. Zamrie Zainal Abidin (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada hukuman yang mampu mengembalikan Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie ke pangkuan keluarga, namun tragedi yang meragut nyawa remaja itu diharap menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak membahayakan nyawa orang lain.

Bapa mangsa, Muhd. Zamrie Zainal Abidin, 58, berkata, kehilangan anak bongsunya itu merupakan tragedi amat menyedihkan yang meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan seluruh keluarga.

Katanya Allahyarham bukan sahaja masih muda dan mempunyai masa depan cerah malah sepatutnya berpeluang meneruskan kehidupan, membina kerjaya dan mengejar cita-cita bersama keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, segala harapan dan impian itu terhenti susulan kejadian berkenaan. Sebagai bapa, tiada kesedihan yang lebih besar daripada kehilangan anak sendiri.

“Sehingga hari ini, saya dan keluarga masih berusaha menerima hakikat bahawa anak yang kami besarkan dengan penuh kasih sayang ini telah pergi buat selama-lamanya.

“Kehilangan ini bukan sahaja meragut nyawa anak saya, malah meragut sebahagian dari kebahagiaan dan harapan keluarga kami,” katanya ketika membacakan penyataan impak mangsa di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Muhd. Zamrie berkata, walaupun hukuman yang dijatuhkan tidak dapat mengembalikan anaknya, beliau berharap kehilangan nyawa seorang anak muda tidak dipandang ringan.

Menurut beliau, tragedi itu diharap menjadi peringatan kepada orang ramai tentang betapa berharganya nyawa serta kepentingan setiap individu bertindak secara bertanggungjawab dan berhati-hati bagi mengelakkan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

“Saya berharap agar kejadian seumpama ini tidak akan berulang dan tiada ibu bapa lain yang perlu melalui penderitaan serta kesedihan yang sedang kami tanggung,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak selepas tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pindaan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif, 17.

Pengakuan bersalah itu dibuat Mohd. Nazri, 47, selepas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini