BARU-BARU ini ada seorang rakan bertanya kepada saya, wujudkah gelandangan di negara-negara maju?
Dia bermati-matian percaya bahawa golongan itu tidak ada di bandar-bandar besar di luar negara.
Katanya, mustahil negara maju wujud gelandangan kerana bandar raya yang besar pasti pandai mengurus dan mengawal kehadiran golongan tersebut.
Malah, dicadangkannya kepada saya supaya ibu kota kita, Kuala Lumpur mengambil langkah serupa. Apa pun, saya hanya ketawa sahaja mendengar pandangannya.
Saya cuba membetulkan faktanya dengan mengatakan bahawa hampir semua bandar besar dunia wujud gelandangan.
Malah, saya memberitahunya, lagi besar status sesebuah bandar raya, makin besar kelompok gelandangannya.
Tidak ketinggalan, bandar raya metropolis New York dan San Francisco di Amerika Syarikat juga bersepah golongan gelandangan.
Menurut statistik yang diperoleh badan bukan kerajaan, The Coalition for the Homeless, statistik pada November 2023 menunjukkan terdapat 92,879 gelandangan termasuk 33,399 gelandangan kanak-kanak di New York.
Dilaporkan, sejumlah 24,036 orang dewasa bujang tidur di tempat perlindungan yang disediakan setiap malam di bandar raya itu pada Disember 2023.
New York memiliki sistem perlindungan perbandaran utamanya sendiri bagi membantu golongan gelandangan.
Minggu ini, saya ingin berkongsi kisah seorang gelandangan wanita ditemukan tinggal di papan tanda di atas bumbung sebuah pasar raya di Midland, Michigan selama kira-kira setahun tanpa ada sesiapa yang menyedarinya.
Lapor Oddity Central, gelandangan berusia 34 tahun itu ditemukan ketika kontraktor memeriksa sambungan wayar di atas bumbung pasar raya Family Fare baru-baru ini.
Kontraktor yang masuk ke dalam papan tanda pengiklanan atas bumbung menemukan tetamu rahsia itu yang sudah menukar kawasan berkenaan menjadi tempat tinggal selesa lengkap dengan lantai, komputer dan pembuat kopi.
Dia mempunyai pekerjaan di tempat lain tetapi kehilangan tempat tinggal dan memilih kawasan itu untuk berteduh selama kira-kira setahun.
Wanita itu malah digelar ‘Ninja Bumbung’ oleh polis kerana kebijaksanaannya memasuki dan meninggalkan papan tanda atas bumbung itu yang tidak mempunyai tangga.
Sepanjang tinggal di bumbung pasar raya Family Fare, wanita itu berjaya mendapat akses kepada elektrik melalui sambungan bekalan yang ada dan polis turut menjumpai meja mini, komputer, persediaan pencetak, pakaian dan perkakas lain yang sering dilihat di setiap rumah.
Dia dilaporkan enggan menghubungi perkhidmatan untuk gelandangan dan tiada pertuduhan difailkan terhadapnya. Bagaimanapun, wanita tersebut meminta maaf dan akur untuk meninggalkan tempat tersebut.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










