Sebagai pengkaji pendidikan yang lebih 30 tahun meneliti perkembangan pendidikan Melayu Bumiputera di Malaysia, saya berani mengakui ada tiga hal berlaku kepada perkembangan pendidikan Melayu Bumiputera.
Pertama, kerajaan sejak sekian lama mencapai kemajuan besar dalam membuka akses pendidikan kepada masyarakat Melayu Bumiputera.
Khususnya bermula di era 197-0an sehingga kini. Kedua, walaupun ada kemajuan dari segi akses pendidikan, ini tidak semestinya bermakna pendidikan Melayu Bumiputera telah mencapai kejayaan dari segi kualiti.
Ketiga, cabaran paling besar adalah kepada usaha untuk menganalisis kemajuan pendidikan Melayu Bumiputera yang sentiasa berhadapan ketidakaturan data, kerencaman maklumat yang banyak, malangnya tidak komprehensif. Inilah perlu kita hadapi secara jujur bila bercakap tentang pendidikan Melayu Bumiputera.
Sejak merdeka, memang anak-anak Melayu Bumiputera sudah ramai bersekolah. Malah sudah terlalu ramai berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Namun, adakah mereka benar-benar menguasai ilmu, kemahiran berfikir, literasi, numerasi dan keupayaan menyelesaikan masalah yang diperlukan untuk menghadapi dunia semakin kompleks ini?
Di saat ada akses pendidikan yang baik, kualiti bagaimana? Soalan ini bukan untuk merendahkan pencapaian anak Melayu Bumiputera yang melalui sistem pendidikan negara. Sebaliknya, pertanyaan ini penting untuk merancang langkah seterusnya.
Sumber Lembaga Peperiksaan Malaysia menunjukkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memberikan satu berita positif.
Purata Nilai Gred Nasional bertambah baik daripada 4.49 pada 2024 kepada 4.42 pada 2025, manakala 94.29 peratus calon layak memperoleh sijil SPM. Ini menunjukkan terdapat kemajuan yang membuahkan hasil. Tentu sahaja kemajuan ini boleh diterima sebagai pencapaian anak-anak Melayu Bumiputera kerana populasi negara ini 71 peratus adalah Melayu Bumiputera.
Tetapi ukuran kejayaan pendidikan tidak boleh berhenti pada keputusan SPM sahaja. Misalnya, laporan PISA oleh OECD, penilaian antarabangsa yang mengukur sejauh mana pelajar berusia 15 tahun mampu menggunakan pengetahuan dalam matematik, bacaan dan sains untuk menghadapi masalah kehidupan sebenar, memberikan gambaran pendidikan negara yang lebih mencabar.
Ini tentunya keputusan PISA 2022 ini merangkumi kumpulan anak-anak Melayu Bumiputera yang merupakan kumpulan terbesar murid di negara ini.
Dalam PISA 2022, Malaysia mencatatkan skor purata 409 dalam Matematik, 388 dalam bacaan dan 416 dalam Sains. Ketiga-tiganya di bawah purata OECD. Lebih membimbangkan, hanya 41 peratus pelajar Malaysia mencapai sekurang-kurangnya tahap 2 dalam Matematik, berbanding 69 peratus bagi purata negara OECD. Soalannya, siapakah murid-murid ini kalau bukan majoritinya adalah anak-anak Melayu Bumiputera?
JURANG PENDIDIKAN
Faktor kemiskinan diakui telah membina jurang antara murid dari segi pencapaian dalam pendidikan. Di sini, kita perlu berubah minda untuk melihat jurang pendidikan sebagai masalah yang bukan hanya bermula apabila murid gagal peperiksaan.
Sebenarnya, jurang telah bermula lebih awal. Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah biasanya akan memasuki alam persekolahan dengan bahasa lebih terhad, kurang akses kepada buku dan bahan pembelajaran, ruang belajar tidak kondusif serta peluang lebih sedikit untuk mengikuti aktiviti perkembangan dan pengayaan.
Kesannya besar, apabila mereka ini memulakan alam persekolahan, para guru bukan sahaja perlu mengajar kurikulum. Guru juga membantu menutup jurang kemahiran pendidikan ini. Sebab itu, isu kemiskinan dan pendidikan Melayu Bumiputera tidak boleh dipisahkan. Ia mesti disekalikan dengan mengangkat kualiti pendidikan.
B40 DAN M40
Kita juga perlu lebih berhati-hati menggunakan istilah B40 dan M40. Bagi keluarga Melayu Bumiputera B40, persoalannya mungkin sangat asas: adakah anak mempunyai komputer, sambungan internet, pengangkutan ke sekolah, makanan berkhasiat yang mencukupi dan ruang selesa untuk belajar di rumah?
Bagi sebahagian keluarga M40 pula, masalahnya mungkin berbeza. Mereka mungkin tidak dikategorikan sebagai miskin tegar, tetapi mereka berdepan kos perumahan, pendidikan, pengangkutan, penjagaan anak dan persaingan akademik yang semakin tinggi. Inilah sebabnya pendapatan isi rumah sahaja tidak memadai untuk menentukan keperluan pendidikan seseorang anak.
Laporan PISA 2022 juga memberikan satu ‘amaran’ penting. Di Malaysia, murid daripada kelompok sosioekonomi 25 peratus teratas mengatasi murid daripada 25 peratus terbawah sebanyak 82 mata dalam kemahiran Matematik. Lebih penting, jurang itu tidak menunjukkan perubahan yang signifikan antara 2012 dan 2022.
Ini bermakna masalah kita bukan sekadar menyediakan lebih banyak tempat di sekolah. Kita perlu memastikan setiap tempat duduk di dalam kelas membawa nilai hampir sama dari segi peluang untuk belajar dan berjaya. Pendidikan yang adil bukan bermaksud semua anak diberi perkara yang sama. Pendidikan yang adil bermaksud setiap anak diberikan apa yang diperlukan untuk mencapai potensinya.
KUALITI GURU
Akhirnya, kita tidak boleh bercakap tentang kualiti pendidikan tanpa bercakap tentang keupayaan guru. Guru faktor paling dekat dengan pembelajaran murid. Tetapi guru tidak boleh dibiarkan memikul semua masalah sistem seorang diri.
PISA 2022 menunjukkan 24 peratus murid Malaysia berada di sekolah yang pengetuanya melaporkan kapasiti pengajaran terjejas akibat kekurangan guru, manakala 22 peratus yang melaporkan kekurangan guru atau tidak mencukupi kelayakannya. Ini memerlukan perhatian serius. Anak-anak miskin sangat bergantung kepada pengajaran guru di sekolah. Mereka tiada sokongan kelas tambahan berbayar.
Justeru, agenda pendidikan Bumiputera perlu memasuki fasa baharu. Fasa pertama, memastikan anak-anak mendapat tempat di sekolah. Itu telah dicapai. Fasa kedua, memastikan mereka benar-benar mendapat akses untuk belajar. Fasa ketiga pula, mencapai kualiti pendidikan.
Cabaran pendidikan abad ke-21 bukan lagi sekadar membuka pintu sekolah. Cabaran kini memastikan anak yang masuk melalui pintu itu benar-benar memperoleh ilmu, kemahiran dan peluang untuk melangkah jauh.
Kini masanya kita bertanya dengan lebih berani, kualiti bagaimana? Kerana akhirnya, kejayaan pendidikan bukan diukur pada berapa ramai bersekolah atau berapa banyak sijil dimiliki. Kejayaan sebenar, apabila pendidikan mampu mengubah pendapatan, mobiliti sosial dan masa depan keluarga dan masyarakat Melayu Bumiputera itu sendiri.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah MINDA UKM










