Ungkapan ‘mengisi kemerdekaan lebih sukar daripada menuntutnya’ sering kita dengar. Memperoleh kebebasan daripada penjajah adalah satu perjuangan besar, tetapi memastikan kemerdekaan terus terisi dengan keamanan, kestabilan dan kemakmuran merupakan cabaran yang jauh lebih panjang.
Banyak negara yang merdeka lebih awal atau hampir sezaman dengan Malaysia masih bergelut mencari ramuan terbaik untuk membina negara yang aman dan stabil.
Namun ada satu kata kunci yang sering dilupakan iaitu penyatuan. Ini kerana dengan bersatu, rakyat mampu menentang penjajah.
Masyarakat pribumi yang melihat tanah air dan hasil bumi mereka dieksploitasi bangkit mempertahankan maruah serta hak mereka, meskipun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga.
Namun sejarah juga menunjukkan penyatuan yang membawa kepada kemerdekaan boleh berpecah selepas kuasa diperoleh. Perebutan kuasa, kekayaan dan kepentingan kelompok akhirnya mencetuskan konflik dalaman.
Malaysia memilih jalan berbeza
Pada 1 hingga 4 Mac 1946, sebanyak 41 pertubuhan Melayu berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman dalam Kongres Melayu Se-Malaya bagi menentang Malayan Union.
Rentetan perjuangan itu membawa kepada penubuhan UMNO pada 11 Mei tahun sama. Prinsipnya jelas: UMNO ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu, bukan membesarkan perbezaan sesama mereka.
Perbezaan diketepikan kerana ancaman terhadap kedudukan dan masa depan bangsa menuntut tindakan bersama. Penyatuan itu akhirnya menjadi sebahagian daripada perjalanan besar menuju kemerdekaan.
Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan masyarakat pelbagai kaum hidup bersama dalam sebuah negara merdeka.
Kemerdekaan itu turut dibina atas persefahaman antara kaum dan kerangka Perlembagaan yang menyeimbangkan kepentingan masyarakat pribumi dengan hak seluruh rakyat.
Namun, hanya 12 tahun selepas merdeka, negara diuji dengan tragedi 13 Mei 1969. Rusuhan kaum memperlihatkan betapa rapuhnya sebuah negara apabila hubungan antara masyarakat retak.
Selepas tragedi itu, Tun Abdul Razak memilih jalan pendamaian dan penyatuan.
Hubungan UMNO-Pas dibina melalui kerajaan campuran pada 1973 sebelum kerjasama politik diperluaskan menerusi pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 1974 dengan penyertaan pelbagai parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ia membawa satu pengajaran besar: keberanian politik bukan sekadar menewaskan lawan, tetapi kesediaan mengajak pihak berbeza duduk bersama demi kestabilan negara.Daripada kestabilan itulah lahir ruang untuk melaksanakan agenda pembangunan yang lebih besar.
Dasar Ekonomi Baru (DEB), misalnya, diperkenalkan dengan matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Ia membuka ruang pendidikan, pembangunan luar bandar dan mobiliti sosial yang lebih luas, termasuk membentuk kelas menengah Bumiputera.
Anak-anak keluarga petani, nelayan, penoreh getah dan pekerja bawahan mendapat peluang menjadi guru, doktor, jurutera, penjawat awam, profesional dan usahawan.
Apabila pendapatan rakyat meningkat, kuasa membeli berkembang, perniagaan bertambah, pekerjaan diwujudkan dan pasaran domestik menjadi lebih besar.
Inilah pengajaran yang perlu kita fahami
Malaysia tidak boleh terus melihat ekonomi sebagai perebutan bahagian daripada kek yang sama. Cabaran sebenar adalah bagaimana kita membesarkan kek ekonomi supaya semua rakyat mempunyai ruang lebih besar untuk maju.
Melayu yang lebih kuat dari segi pendidikan dan ekonomi tidak sepatutnya menjadi ancaman kepada kaum lain. Begitu juga kemajuan masyarakat Cina, India serta Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada Melayu.
Kekuatan setiap komuniti mesti akhirnya menjadi kekuatan Malaysia
Malangnya, pasca-2018, politik negara melalui satu fasa ketidakstabilan yang panjang. Kerajaan silih berganti, penjajaran politik berubah dan hubungan antara kaum kembali menjadi bahan perdebatan yang semakin tajam.
Perkara-perkara yang selama puluhan tahun menjadi asas persefahaman negara mula dipersoalkan. Dalam masa sama, sentimen perkauman terus dimainkan sehingga jurang antara masyarakat semakin terasa.
Dalam keadaan ini, orang Melayu sendiri semakin terpecah kepada pelbagai kelompok dan parti politik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat keperluan membina semula penyatuan ini melalui gagasan Rumah Bangsa.
Ia tidak seharusnya dilihat sekadar kempen membawa pulang bekas ahli UMNO. Rumah Bangsa membawa makna lebih besar — membina kembali titik pertemuan dalam kalangan orang Melayu tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keseluruhan negara.
Rumah Bangsa perlu menjadi asas penyatuan kelompok majoriti yang akhirnya memperkukuh kestabilan dan kemakmuran Malaysia.
Gagasan ini tidak wajar dilihat semata-mata sebagai politik identiti. Penyatuan kelompok majoriti yang matang, sederhana dan berprinsip boleh menjadi asas kestabilan nasional.
Apatah lagi Islam sendiri meletakkan keadilan sebagai prinsip utama dan tidak mengajar umatnya menindas mereka yang berlainan bangsa atau agama.
Rumah Bangsa juga tidak bermaksud semua orang Melayu mesti berada dalam satu parti.
Ia seharusnya menjadi ruang kebersamaan membuka pintu kepada mereka yang mahu kembali, mencari titik persamaan dengan mereka yang mahu bekerjasama dan membina jambatan dengan pihak yang pernah berselisih.
Rumah Bangsa membawa kita kembali kepada prinsip lama yang pernah menjadi kekuatan negara ini: penyatuan.
Prinsip itulah yang menggerakkan penentangan terhadap Malayan Union, menjadi asas perjalanan menuju kemerdekaan dan membantu membina kestabilan sehingga Malaysia mampu berkembang menjadi sebuah negara yang lebih makmur.
Namun penyatuan sentiasa menuntut pengorbanan
Kerusi, jawatan dan kepentingan politik boleh dirunding. Tetapi agama, Perlembagaan, kestabilan negara dan masa depan rakyat tidak boleh digadaikan.
Sempena Hari Kebangsaan, politik Malaysia memerlukan kematangan baharu.
Rumah Bangsa akan menjadi jambatan, bukan tembok; ruang rundingan, bukan medan penguasaan.
Penyatuan Melayu akan menghasilkan sesuatu yang lebih besar daripada kemenangan sesebuah parti. Buktinya adalah Kongres Melayu Se-Malaya pada tahun 1946 dan penubuhan BN.
Dan kini Rumah Bangsa memperkukuh Rumah Malaysia untuk semua. Selamat Hari kebangsaan ke-69. Dirgahayu tanah airku.
AZRAN FITRI RAHIM ialah Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Ke-9.










