PETALING JAYA: Langkah Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bukanlah satu bentuk pengkhianatan, sebaliknya tindakan berprinsip demi mempertahankan integriti undang-undang.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, aduan itu dibuat selepas hak wakil Bersatu untuk hadir, bercakap dan mengundi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu didakwa dinafikan.
Beliau berkata, Bersatu mengemukakan lapan hujah kepada RoS berhubung dakwaan pelanggaran Perlembagaan PN.
“Antaranya termasuk ketiadaan notis panggilan mesyuarat yang sah, kecacatan korum, pelantikan jawatan utama tanpa persetujuan sebulat suara parti komponen serta pindaan struktur organisasi tanpa kelulusan Majlis Tertinggi.
“Hujah lain menyentuh dakwaan kelemahan pengurusan rekod, minit mesyuarat dan penyata tahunan PN.
“Langkah Bersatu membuat aduan kepada RoS bukanlah pengkhianatan, malah satu tindakan berprinsip demi mempertahankan integriti undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang menuduh Bersatu melakukan tindakan tikam belakang dan mempamerkan air mata buaya susulan pembatalan pendaftaran PN.
Menurut Harris, Pas gagal meyakinkan RoS berhubung tindakan dan tatacara mesyuarat dalam gabungan itu.
Beliau berkata, kegagalan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan justifikasi kukuh kepada RoS bagi menyangkal asas pembatalan pendaftaran itu akhirnya menyebabkan PN dibatalkan.
Harris berkata, terdapat juga agenda untuk menyingkirkan Bersatu secara politik dan membantu Parti Wawasan Negara mengambil peranan parti itu dalam PN.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu gagal selepas pendaftaran PN dibatalkan.
“Tarikan politik Parti Wawasan Negara tanpa payung dan platform PN adalah hampir sifar.
“Tindakan menumpang populariti gabungan ini demi talian hayat politik sendiri akhirnya menjadi senjata makan tuan,” katanya. –UTUSAN











