Lupa bahasa Melayu setelah setahun di London - Utusan Malaysia

Lupa bahasa Melayu setelah setahun di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mempunyai ramai rakan yang kini bermastautin atau menetap di luar negara. Ada yang mendapat taraf penduduk tetap di Belanda, Australia, United Kingdom (UK), Jerman, Afrika Selatan dan ada juga dari Amerika Syarikat (AS).

Mereka ini merupakan rakan-rakan sewaktu belajar di universiti dan rakan bekas pengamal media. Apa yang menariknya tentang rakan-rakan saya ini adalah mereka ini masih kuat memiliki DNA Malaysia.

Malah, mereka ini fasih berbahasa Melayu walaupun sudah hampir 30 tahun atau ada yang lebih lama menetap di perantauan. Mereka ini tidak pernah malu dan berbangga menjadi produk buatan Malaysia.

Selain itu, kerap kali juga mereka ini memuat naik status media sosial masing-masing dalam bahasa ibunda.

Paling seronok, ada dalam kalangan rakan saya ini masih kuat telor utaranya. Ya lah, ada dalam kalangan rakan saya ini yang berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.

Walaupun jauh beribu batu, budaya Malaysia tetap dipelihara oleh mereka apatah lagi sering menyediakan juadah tradisional Malaysia seperti laksa, rendang, nasi lemak, popiah, masak singgang dan macam-macam lagi.

Hal ini berbeza dengan kisah yang ingin saya kongsikan minggu ini mengenai seorang wanita muda yang mengaku terlupa bahasa Melayu walaupun baru pulang dari London, UK setelah setahun menimba ilmu di sana.

Kisah ini amat melucukan apabila wanita ini mencipta kandungan TikTok yang memberitahu dirinya sudah terlupa bahasa ibunda dan terpaksa bergantung 80 peratus dengan Google Translate.
Namun, kandungan yang dipaparkannya dalam TikTok hanya mendapat kecaman warganet.

Wanita ini dengan bangganya memberitahu terlupa bahasa Melayu walaupun memperoleh A dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Apa pun, wanita ini perlu menjadi diri sendiri dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Mana mungkin bahasa yang dipertutur sejak kecil dan menggunakannya secara ekstensif di sekolah sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam subjek itu, kini sudah melupakannya hanya selepas setahun di perantauan.

Mungkin wanita ini perlu menjadikan penyanyi, Datuk Shake dan Anita Sarawak sebagai sumber inspirasi kerana kefasihan mereka berbahasa Melayu.

Berhijrah ke Paris, Perancis pada usianya 22 tahun, kemudian menetap di Los Angeles, AS selama 24 tahun, Datuk Shake tetap fasih berbahasa Melayu. Begitu juga dengan penyanyi Anita Sarawak yang kini menetap di Las Vegas, AS.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×