PETALING JAYA: Umat Islam diingatkan menyambut Ramadan secara sederhana dan tidak melakukan pembaziran sewaktu berbuka puasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Ramadan merupakan bulan bagi rata-rata rakyat mendapatkan rezeki yang lebih dengan berniaga di bazar di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar umat Islam sentiasa bersederhana dan mengelakkan pembaziran sewaktu berbuka.
“Sesungguhnya, ibadat puasa itu melatih diri untuk taat, sabar dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT.
“Allah SWT berfirman yang bermaksud “dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.
“Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan’ (Surah al-A’raf, ayat 96),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan menunaikan ibadah puasa bermula esok.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im turut mengingatkan semua pendakwah bertauliah di negara ini agar bersama-sama mewarnai kesucian Ramadan dengan mengajak lebih ramai umat Islam bersama beribadah di rumah Allah SWT.
“Begitu juga majlis-majlis ilmu dan agama yang diadakan sepanjang bulan yang mulia ini mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri,” katanya. – UTUSAN











