PUTRAJAYA: Proses pencerapan hilal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menyaksikan anak bulan gagal kelihatan dan tidak memenuhi kriteria imkanur rukyah.
Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pasukan Jawatankuasa Pencerapan Peringkat Putrajaya yang juga Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd. Adnan sebentar tadi.
“Kedudukan hilal berada kurang daripada kriteria darjah yang dipersetujui Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-118 pada 2021 lalu,” jelas beliau.
Berdasarkan maklumat diterima, anak bulan dikesan dari ufuk pada altitud atau ketinggian sifar darjah 40 minit sewaktu matahari mula terbenam atau maghrib pukul 7.26 petang.
Sementara kedudukan elongasi atau jarak lengkung antara pusat bulan dengan matahari pula didapati pasukan pencerapan itu hanya satu dajah 47 minit ketika waktu berkenaan.
Turut menyertai pasukan tersebut ialah Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah dan juga pakar falak, Datuk Dr. Azhari Mohamed.
Pusat persidangan berkenaan merupakan antara 29 lokasi yang diwartakan oleh pihak Majlis Raja-Raja untuk proses pencerapan hilal untuk penetapan awal bulan takwim Hijrah.
Ia selaras keputusan mesyuarat kali ke-92 majlis itu pada 1972 lalu yang bersetuju agar pengisytiharan 1 Ramadan di seluruh Malaysia berdasarkan rukyah atau cerapan hilal.
Malaysia turut menjadi antara beberapa negara di dunia yang mengamalkan penetapan tarikh Hijrah dengan menggunakan kaedah hisab atau pengiraan sejak tahun berkenaan.
Majlis Raja-Raja pada 2021 meluluskan kriteria imkanur rukyah baharu iaitu altitud mesti tidak kurang tiga darjah manakala sudut elongasi pula ialah lebih enam darjah 24 minit.
Tahun lepas, PICC melakar sejarah apabila menjadi antara 10 lokasi pencerapan yang berjaya merekodkan anak bulan Ramadan kelihatan dan memenuhi kriteria ditetapkan.
Hilal boleh dilihat secara mata kasar selain menerusi bantuan beberapa jenis teleskop, teodolit, binokular dan kamera, namun bergantung suasana langit yang bebas awan tebal. – UTUSAN











