Tempias gabungan BN-PH Pahang dinilai pengundi DUN Tioman

[ANALISIS] Tempias gabungan BN-PH Pahang dinilai pengundi DUN Tioman

MOHD. JOHARI Hussain (kanan) berbual dengan Nor Idayu Hashim selepas majlis penamaan calon PRU15 DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN belum rasmi, difahamkan hampir pasti Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang yang tergantung sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Tentunya tempias pembentukan kerajaan negeri turut dirasai pada PRU15 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang diadakan semula pada 7 Disember ini ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md. Yunus Ramli akibat komplikasi jantung pada 19 November lalu.

Pada majlis pengumuman calon kelmarin, calon PH di situ, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly tidak hadir dan difahamkan parti berkenaan memberi laluan serta menyokong calon BN yang juga penyandang, Datuk Seri Johari Hussain.

Di atas kertas, kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru pada antara Mohd. Johari, Nor Idayu Hashim (PN), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Mohd. Fadzli.

Mohd. Johari adalah penyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang majoriti 1,280 undi dalam saingan empat penjuru pada PRU14. DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.

Tentunya, kerjasama BN-PH di negeri itu bagi membentuk kerajaan negeri turut dinilai pengundi DUN Tioman yang diterjemah dalam bentuk undi mereka.

Jika gabungan dan kerjasama itu diterima rakyat, Mohd. Johari berpeluang cerah mempertahan kerusi tersebut untuk penggal keempat.

Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, kerjasama BN-PH di Pahang memberi peluang kepada Mohd. Johari untuk mempertahan kerusi DUN Tioman.

Bagaimanapun, katanya, beliau tetap berdepan tugas getir ekoran gelombang kebangkitan PN pada pilihan raya umum Sabtu lalu.

Gelombang itu menyaksikan kerusi Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam dimenangi calon PN dan BN hanya menang di Muadzam Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×