MENJELANG pembentangan Belanjawan 2026, rakyat menaruh harapan tinggi kerajaan akan tampil dengan idea dan dasar yang bukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.
Walaupun wujud bantuan-bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Warga Emas (BWE), Subsidi Elektrik & Bil Utiliti dan terbaharu Budi Madani (BUDI95), namun tekanan harga barang, kenaikan sewa dan kos asas kehidupan masih menghimpit ramai.
Bantuan sesekali atau bersifat sementara tidak lagi memadai. Rakyat mahukan satu pelan menyeluruh yang memberikan kestabilan dan keupayaan hidup lebih bermaruah.
Apa yang mereka inginkan bukan sekadar ‘tolak ansur semasa kesusahan’ tetapi dasar yang memberi mereka peluang untuk hidup selesa, memiliki kediaman sendiri dan tidak terus tercekik oleh kenaikan kos hari demi hari.
Antara masalah paling mendesak ialah gaji minimum yang ditetapkan masih jauh dari cukup bagi menampung kos hidup di bandar. Menurut laporan, purata gaji bulanan pekerja di Malaysia sekitar RM3,224 (2022), namun purata perbelanjaan isi rumah yang wajar pada RM4,729 (2023), jelas terdapat jurang besar antara apa yang diterima dan apa yang diperlukan.
Beberapa penganalisis ekonomi menyatakan Malaysia perlu segera memperkenalkan gaji minimum progresif yang diselaraskan dengan kos sara hidup semasa agar rakyat tidak sekadar bertahan tetapi mampu menyimpan untuk masa hadapan.
Jika dasar gaji minimum kekal stagnan sementara harga barang naik setiap tahun, apa maknanya pertumbuhan jika golongan bawahan kekal kerja tetapi miskin?’
Tekanan kewangan, kerisauan dan hutang menjadi norma kepada keluarga yang hidup di sempadan tengah antara kecukupan dan kecemasan.
Satu lagi isu yang amat terasa ialah impian memiliki rumah sendiri semakin tersasar dari jangkauan ramai. Di bandar-bandar utama, harga rumah melonjak jauh melebihi kemampuan pekerja berpendapatan sederhana dan rendah.
Memetik Academic Inspired, kajian menunjukkan golongan M40 terutama di kawasan bandar sangat sukar memperoleh rumah mampu milik kerana harga tidak selari dengan pendapatan.
Sebagai contoh, kajian dari Jabatan Perancangan dan Penyelidikan harta (NAPIC) menunjukkan harga median rumah di bandar jauh melebihi harga rumah mampu milik yang digariskan kerajaan.
Menurut Dasar Perumahan Negara (Dokumen Dasar Perumahan Mampu Milik Negara), antara cabaran utama ialah ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan menyebabkan bekalan rumah mampu milik sentiasa ketinggalan berbanding penambahan keperluan isi rumah baharu.
Akibatnya, walaupun ada skim perumahan kerajaan, ramai yang masih memilih untuk menyewa atau tinggal jauh dari pusat bandar, menanggung kos pengangkutan tinggi dan mengorbankan masa perjalanan.
Bantuan langsung memang membantu meringankan beban segera tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang. Rakyat sedar mereka memerlukan bukan sekadar ‘tolong semusim’ tetapi rancangan transformasi yang mengubah sistem.
Masalah yang mendalam seperti jurang upah, akses kepada rumah, pendidikan serta latihan yang relevan memerlukan dasar berani dan komprehensif. Jika kerajaan terus hanya menggunakan bantuan sementara sebagai ‘ubat sakit kepala’, ramai akan terus bergantung, sedangkan akar masalah tidak ditangani.
Kajian akademik dan penyelidikan ekonomi berkali-kali menyatakan kos sara hidup di Malaysia semakin mendesak. Dalam Kajian Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dibincangkan dua faktor utama menaikkan kos kehidupan ialah pendapatan yang tidak meningkat setara dengan inflasi dan gaya hidup yang berubah. Ini termasuk corak perbelanjaan isi rumah melibatkan lebih banyak keperluan teknologi, komunikasi, pengangkutan dan lain-lain.
Kenaikan kos perumahan, makanan dan pengangkutan menjadi beban utama isi rumah, perumahan, makanan dan pengangkutan sering mengambil bahagian kos terbesar daripada bajet isi rumah.
Tambahan pula, dalam dokumentasi Parlimen, Isu Kos Sara Hidup Malaysia (2024), disebut gaji minimum semasa perlu dikaji semula setiap tahun agar sesuai dengan tekanan meningkatnya kos hidup.
Semua ini menunjukkan rakyat bukan sahaja terkesan sebaliknya semakin ditekan saban tahun dan tanpa intervensi radikal, beban itu akan terus membesar.
RAKYAT INGIN TERUS BERNAFAS
Kerajaan tidak boleh lagi memilih jalan mudah melalui bantuan wang tunai. Belanjawan 2026 perlu mengemukakan dasar nyata dan berani supaya rakyat benar-benar dapat bernafas, antaranya:
– Semakan semula gaji minimum
Gaji minimum perlu disesuaikan mengikut kawasan (bandar lwn. luar bandar) dan kos asas tempatan. Gaji minimum progresif atau gaji standard kos hidup harus diperkenalkan agar pekerja di bandar besar tidak terus terhimpit.
– Dasar perumahan rakyat yang inklusif dan agresif
Pembinaan rumah mampu milik mesti ditingkatkan secara drastik. Kerajaan perlu menyasarkan rumah berharga rendah dan sederhana di lokasi strategik (berdekatan pusat bandar dan pengangkutan awam). Skim sewa ke milik boleh diperluas agar rakyat mampu bercadang memiliki rumah sedikit demi sedikit.
– Latihan kemahiran tinggi dan pendidikan yang relevan
Sistem pendidikan dan latihan mesti disesuaikan dengan keperluan industri semasa mencangkumi digital, automasi mahupun tenaga lestari. Belanjawan harus peruntukkan dana besar untuk program vokasional dan pendigitalan supaya graduan tidak tersisih.
– Reformasi subsidi dan cukai progresif
Bantuan subsidi perlu ditambah baik agar disasarkan kepada golongan benar-benar memerlukan. Sistem cukai pula perlu ditambah elemen progresif untuk meneutralkan ketidakseimbangan pendapatan.
– Pemantauan ketelusan dan ketirisan
Pentadbiran kewangan awam harus dibuat lebih telus agar pembaziran dan ketirisan dapat dikurangkan. Ini bermakna setiap ringgit bantuan mesti sampai ke tangan rakyat yang dituju.
– Insentif pembangunan inklusif swasta
Pemaju swasta perlu digalakkan membina rumah mampu milik melalui insentif cukai, akses tanah dan sokongan infrastruktur. Skim kerjasama awam-swasta boleh diperluas untuk mewujudkan projek perumahan bersepadu yang seimbang.
Rakyat tidak menolak bantuan segera, mereka menghargainya ketika perlu tetapi lebih mendambakan transformasi sistemik. Mereka mahu jawapan struktural, bukan sekadar ‘penampal masalah’.
Belanjawan 2026 adalah peluang terbaik kerajaan untuk menjawab persoalan paling penting, bagaimana memastikan rakyat tidak lagi hidup dalam ketakutan kenaikan harga, gaji yang tertinggal dan impian rumah sendiri yang semakin jauh?
Jika rakyat terus tertekan, keyakinan terhadap sistem akan pudar, namun dengan dasar yang menjamin gaji adil, akses perumahan dan peluang produktif, belanjawan mampu menjadi janji perubahan nyata dalam kehidupan.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










