GELOMBANG hijau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menyaksikan Perikatan Nasional (PN) diterajui Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Perlis.
PN mencapai kemenangan cukup selesa dengan menguasai 14 daripada keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tanpa meninggalkan satu kerusi sekali pun kepada BN.
Ia prestasi terburuk dalam sejarah BN di Perlis. Daripada jumlah itu, Pas menguasai sembilan kerusi manakala Bersatu dengan lima kerusi. Di Perlis, hanya satu kerusi menjadi milik Pakatan Harapan (PH) atau PKR iaitu di Indera Kayangan.
Di kawasan Parlimen juga menyaksikan PN menguasai semua tiga kerusi di Arau, Kangar dan Padang Besar.
Kekalahan BN buat pertama kali dalam sejarah di Perlis sangat memeritkan dan bertambah pedih kenyataan Pengerusi PN negeri ketika itu, Mohd. Shukri Ramli dalam sidang akhbar selepas kemenangan PN pada 20 November 2022 iaitu tiada lagi ‘benih’ BN di Perlis ekoran kekalahan tersebut.
Ia memberi tamparan cukup hebat kepada BN namun jika diambil daripada sudut positif, ia boleh dijadikan sebagai cabaran untuk parti itu kembali bangkit lebih kuat dalam PRU16.
Masa berlalu, BN sudah mula menerima kekalahan tersebut dan perlahan-lahan bangkit dengan semangat baharu melalui kepemimpinan lebih segar dalam misi kembali merampas Perlis pada pilihan raya akan datang.
Persoalan kini, adakah PN mampu mengulangi pencapaian cemerlang dalam PRU15 sekali gus mengekalkan penguasaan kerajaan negeri dalam PRU16?
PN tidak boleh lagi bergantung harap kepada gelombang atau tsunami politik dalam PRU15 kembali berulang pada PRU16. Gelombang atau tsunami politik tidak datang selalu, ia hanya muncul sesekali dalam masa tidak dijangka.
Kayu pengukur untuk PN mengekalkan pemerintahan dan mempertahan kepercayaan rakyat dalam PRU16 iaitu dengan membuktikan sesuatu selepas diberi kepercayaan mentadbir kerajaan negeri selain wakil rakyat di setiap kawasan perlu ‘perform’ membela nasib rakyat.
Jika kedua-dua faktor itu berjalan dengan baik, rakyat mungkin tidak teragak-agak untuk terus memberi kepercayaan dalam PRU16.
Ia juga tidak mudah, kerana BN khususnya sudah pasti akan memasuki gelanggang pilihan raya dalam keadaan lebih kuat. Malah, jika BN bekerjasama dengan PH untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sudah pastinya bakal memberi lebih cabaran kepada PN.
Jika mengambil kira jumlah undi BN dan PH dalam PRU15, sekurang-kurangnya empat kerusi menunjukkan undi memihak kepada dua parti itu dan pada PRU16, BN dan PH hanya perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya empat lagi kerusi berpontensi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Bagaimanapun senario tersebut juga tidak boleh menjadi pengukur memandangkan ada sesetengah wakil rakyat PN di empat kerusi berkenaan menunjukkan prestasi cukup baik khususnya di Kuala Perlis.
Di kerusi yang PN menang besar sebelum ini pula, mereka juga tidak boleh terlalu selesa memandangkan ada sesetengah wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi baik sekali gus mengundang banyak rungutan.
Malah, isu demi isu berbangkit yang membelenggu pentadbiran kerajaan negeri juga sedikit sebanyak boleh memberi kesan selain masalah dalaman Pas yang perlu segera diselesaikan sebelum PRU16 seperti isu penyebaran klip audio mirip Menteri Besar yang tular baru-baru ini.
Pas khususnya perlu kembali merapatkan saf, selesaikan segala masalah berbangkit dan sebarang prasangka yang tidak sepatutnya bagi mengelakkan daripada berlaku pertembungan antara parti dan kerajaan negeri.
Pesan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berulang kali sebelum ini, parti seharusnya menguasai dan memandu perjalanan pentadbiran kerajaan negeri khususnya berkaitan beberapa perkara penting seperti sesuatu dasar dilaksanakan dan pelantikan jawatan tertentu.
Dalam masa sama, hubungan antara Pas dan Bersatu di dalam PN juga perlu diperkukuhkan bagi memulihkan kepercayaan sesama sendiri.
Elakkan sebarang perpecahan dalaman yang boleh melemahkan PN.
Berbanding negeri-negeri SG4 yang lain, Perlis dilihat antara negeri yang bakal berdepan cabaran dan menuntut usaha yang lebih bagi mempertahan kerajaan negeri dalam PRU16.
BEZA DENGAN NEGERI LAIN
Ia berbeza dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mempertahankan penguasaan dalam pilihan raya akan datang.
Berbaki setahun atau dua tahun sebelum PRU16, PN Perlis khususnya masih mempunyai masa untuk memperbaiki kekurangan yang ada khususnya membabitkan prestasi wakil rakyat di sesetengah kawasan yang perlu diberi perhatian serius.
Prestasi sesetengah barisan exco kerajaan negeri juga perlu dipertingkatkan.
Di Perlis, apa yang diharapkan bukannya pembangunan yang hebat-hebat, cukuplah sekadar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya untuk anak-anak muda, masalah-masalah asas seperti air yang perlu ditangani dengan baik dan nasib petani yang perlu sentiasa diberikan perhatian.
Setakat ini, paling ketara, sektor pelancongan dilihat banyak membantu melonjakkan negeri ini selain pembangunan pesat di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).
Perlu diingat, bukan senang untuk PN diberi peluang oleh rakyat memerintah negeri ini yang sudah cukup sinonim dengan pentadbiran kerajaan BN sejak sekian lama.
Jadi, jangan sia-sia kepercayaan rakyat.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










