UNIVERSITI Tsukuba, antara institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di Jepun, mengiktiraf ketokohan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui penganugerahan Ijazah Kehormat pada 2 September, lalu.
Universiti ini, yang bersusur galur sejak 1872 dan ditubuhkan secara rasmi pada 1973, kini berada dalam kelompok 10 universiti terbaik Jepun.
Ia terkenal dengan kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, hubungan antarabangsa dan pembangunan sukan bertaraf dunia.
Terletak di bandar sains Tsukuba, universiti ini menjadi pusat kepada lebih 60 organisasi penyelidikan awam dan 200 swasta, serta menempatkan lebih 20,000 saintis Doktor Falsafah (PhD). Separuh daripada pembiayaan penyelidikan Jepun disalurkan di sini, menjadikannya hab utama bagi bidang robotik, nanoteknologi dan bio-digital di bawah inisiatif Super City kerajaan Jepun.
Universiti Tsukuba juga telah melahirkan tiga penerima Hadiah Nobel dan lebih 140 pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik, termasuk daripada sekolah pendahulunya.
Dalam bidang sukan, universiti ini memiliki kemudahan latihan bertaraf tinggi dan tenaga akademik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ia menjadi model kepada integrasi antara kecemerlangan akademik dan pembangunan fizikal, menjadikan institusi ini sebagai rujukan dalam pendidikan holistik.
PENGIKTIRAFAN TERHADAP KEPIMPINAN DIRAJA MALAYSIA
Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada Al-Sultan Abdullah bukan sahaja mencerminkan penghormatan tertinggi terhadap peranan baginda dalam memperkasa pendidikan dan sukan tetapi juga merupakan pengiktirafan terhadap institusi diraja Malaysia.
Pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini lazimnya hanya diberikan kepada tokoh yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam bidang akademik, kepimpinan global dan hubungan antara negara.
Idea penubuhan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia dicetuskan oleh Al-Sultan Abdullah semasa pertemuan bersejarah dengan mendiang Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada 2019.
Kini, kampus tersebut direalisasikan di Kuala Lumpur, menjadi simbol kepada hubungan intelektual dan budaya yang semakin kukuh antara Malaysia dan Jepun.
Penubuhan ini membuka akses kepada sistem pendidikan Jepun dengan kos yang lebih rendah, serta mendedahkan pelajar dengan nilai dan budaya Jepun. Ia juga berpotensi memberi manfaat kepada pelajar dari rantau Asia Tenggara, menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau yang strategik.
Komitmen Al-Sultan Abdullah terhadap pendidikan terserlah di negeri baginda sendiri, Pahang melalui sokongan terhadap IPT milik kerajaan negeri seperti Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UIPSAS), UCYP University, Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Kolej Yayasan Pahang (KYP) serta inisiatif penubuhan sebuah universiti berteraskan al-Quran. Baginda turut menekankan kepentingan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai landasan mobiliti sosial dan pembangunan ekonomi negeri.
Melalui Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), baginda membiayai Akademi Menara Gading, iaitu program pendidikan jangka panjang yang bertujuan mengurangkan kemiskinan melalui kecemerlangan akademik. Program ini menyasarkan pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah, menyediakan mereka untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengakses pendidikan tinggi yang berkualiti.
Selain itu, YASA turut mengendalikan tiga pusat pendidikan agama di Pahang yang menampung kira-kira 300 pelajar sekolah rendah daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Dalam bidang sukan, Al-Sultan Abdullah menunjukkan kepimpinan cemerlang bertaraf antarabangsa sejak usia muda. Baginda memulakan peranan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1992 dan kemudiannya menjadi Presiden FAM pada 2014. Di peringkat global, baginda menyumbang dalam pelbagai jawatankuasa FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Piala Asia AFC 2015 dan Jawatankuasa Pembangunan AFC.
Baginda juga pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa FIFA untuk kejohanan Olimpik dan Fair Play, menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan sukan baginda.
Dalam sukan hoki, Al-Sultan Abdullah pernah memegang jawatan sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) serta dilantik sebagai Ahli Kehormat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). Penglibatan baginda dalam sukan hoki bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat global, menjadikan baginda sebagai tokoh penting dalam pembangunan sukan berpasukan di Asia.
Kepimpinan baginda dalam sukan polo pula terserlah melalui pasukan Royal Pahang Polo Club yang aktif menyertai kejohanan elit antarabangsa seperti English Queen’s Cup, Gold Cup dan Argentina Open.
Pasukan baginda dikenali sebagai pesaing yang disegani, mencerminkan mutu permainan dan semangat kesukanan yang tinggi. Baginda turut memulakan siri Pahang Classic pada awal 1990-an dan menganjurkan Liga Polo RMPA sejak 2005, yang kekal sebagai platform utama sukan polo di Malaysia.
Selain itu, baginda menerajui kelab tenis, skuasy dan golf di Pahang, menunjukkan komitmen menyeluruh terhadap pembangunan sukan pelbagai disiplin. Keseluruhan penglibatan ini membuktikan Al-Sultan Abdullah ialah seorang raja pemerintah yang menjadikan sukan sebagai wahana perpaduan, disiplin dan pembangunan insan, selaras dengan aspirasi baginda untuk melahirkan rakyat yang sihat, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Kesimpulannya, ketokohan Al-Sultan Abdullah dalam bidang pendidikan, perhubungan antarabangsa dan sukan mencerminkan satu model kepimpinan diraja yang progresif, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh.
Usaha baginda dalam memperkasa pendidikan di Pahang, memperkukuh pembangunan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa, serta menjalin hubungan diplomatik melalui institusi ilmu, adalah manifestasi kepada komitmen baginda untuk melahirkan rakyat yang berjaya, sihat dan berdisiplin.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan berbudaya tinggi, kepimpinan unggul baginda bukan sahaja wajar dihargai bahkan perlu dijadikan teladan dalam usaha membina generasi masa hadapan yang lebih gemilang.-UTUSAN
DATUK Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Profesor Madya di ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM ) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).










