Jangan mudah menghukum mereka yang ingin berubah

Jangan mudah menghukum mereka yang ingin berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam di seluruh dunia umumnya  sedaya-upaya memperbanyakkan amal ibadah masing-masing dan menjauhkan diri daripada perkara yang mungkar. 

Kita semua mengharapkan keredaan Allah dan berdoa semoga Allah menerima ibadah yang dilakukan agar mendapat ganjaran pahala sebagai bekalan di akhirat nanti.

Memasuki 10 hari terakhir Ramadan, masing-masing pastinya memasang keinginan untuk bertemu lailatul qadar. Ketika ini juga, surau dan masjid semakin meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan, yang secara tidak langsung turut menyemakkan ukhuwah sesama jemaah.

Selain daripada menguji kesabaran dan menahan nafsu, bulan mulia dan penuh keberkatan ini juga memberi peluang keemasan untuk  setiap daripada kita berubah ke arah kebaikan.

Kita diberi ruang untuk merapatkan diri dengan Allah dan pada bulan ini, setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berganda.

Maka, ramai yang menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Selain daripada melakukan amal ibadat, ada yang mula mengubah penampilan diri ke arah yang lebih baik selaras dengan tuntutan agama. 

Pun begitu, malangnya, ada pula dalam kalangan umat Islam bukan sahaja tidak memberi sokongan, malah mempertikaikan niat dan keikhlasan mereka yang bersungguh-sungguh cuba melakukan perubahan termasuk mula memperbanyakkan amal ibadah sepanjang bulan mulia ini. Contohnya, ada yang menempelak dengan ejekan bahawa mereka ini hanya membuka al-Quran sebulan setiap tahun.

Walaupun benar kita tidak seharusnya hanya melakukan amal ibadah ketika bulan puasa semata-mata tetapi pada masa sama tidak sepatutnya memperkecilkan niat baik dan usaha orang lain.

Sebaliknya, sekecil mana pun usaha ke arah kebaikan harus digalakkan dan disokong. Malah, setiap insan mempunyai peluang untuk menjadi lebih baik asalkan mahu berusaha ke arah itu.

Sekecil mana pun langkah yang diambil, tetap perjuangan ke arah kebaikan. Kerana itu, masyarakat mesti bersikap adil dan tidak memandang sinis ke atas usaha orang lain, apatah lagi melemparkan pelbagai kutukan. 

Amat merugikan apabila mereka yang mahu berubah kembali kepada cara jahil patah semangat hanya dek kerana kutukan dan sindiran. 

 

RAMADAN sepatutnya menjadi ruang untuk setiap insan memperbaiki dan mendekatkan diri kepada Allah.

 

 

HUKUM BUKAN DITANGAN MANUSIA

Persoalannya, kenapa harus mempertikaikan dan seolah-olah menyekat usaha yang baik itu? 

Antara masalah yang sering berlaku dalam masyarakat ialah sikap terlalu mudah menghukum orang lain. Lebih membimbangkan, sesetengah pihak cepat beranggapan orang lain melakukan keburukan tanpa memahami keadaan sebenar. 

Namun, apabila perkara yang sama dilakukan oleh individu yang mereka senangi, kesilapan tersebut sering dimaafkan atau dipandang ringan. Sikap pilih kasih dalam menilai perbuatan ini bukan sahaja menimbulkan salah faham, malah boleh merosakkan hubungan sesama masyarakat.

Lebih buruk lagi, dalam keadaan begini, kita menghukum mereka yang sebenarnya sedang mencuba sebaik-baiknya memperbaiki kesilapan lalu, hanya kerana usaha mereka dianggap belum mencukupi.

Ada juga yang kononnya membongkar dan menghebohkan cerita-cerita lama mereka yang sedang berubah ini, sedangkan hal sebegitu dilarang sama sekali dalam Islam.

Sepatutnya, kita semua harus insaf dan sedar bahawa diri kita juga tidak sempurna. Jangan kerana riak, kita begitu mudah menghina dan memandang rendah pihak lain yang kita anggap salah. Sedangkan, sebagai manusia biasa kita tidak boleh mendabik dada dan menganggap diri kita sudah cukup mulia sehingga boleh menghukum orang lain dengan begitu senang.

Sikap sombong sebegini bukan sahaja boleh menjauhkan hati-hati mereka yang dihina itu daripada mendekatkan diri kepada agama malah menunjukkan wujudnya sifat yang jelas bertentangan dengan rahmah, ihsan dan kasih sayang dalam Islam.

Ia juga menggambarkan adanya rasa riak dan takbur dalam kalangan mereka yang melihat dirinya layak menilai keimanan dalam diri orang lain.

Islam datang dengan rahmah dan pilihan, bukannya kutukan dan paksaan. Benar, kita perlu tegas melarang perkara yang mungkar tetapi mesti juga melakukannya dengan penuh berhikmah dan bijaksana.

Malah, umat Islam diseru untuk saling bantu-membantu ke arah kebaikan, dengan nasihat harus diberikan dengan cara dianjurkan agama Islam. 

Kita juga dapat mempelajari daripada sejarah penurunan wahyu. Banyak hukum yang diperturunkan secara berperingkat dan tidak secara tergesa-gesa dan memaksa. Contoh termasyhur ialah larangan meminum arak yang diturunkan dalam beberapa peringkat melalui al-Quran dengan cara yang penuh hikmah.

Bermula dengan menyebut tentang sifat minuman arak tanpa melarangnya, Allah kemudian menurunkan beberapa lagi ayat yang menggalakkan umat Islam untuk menjauhinya. Hanya apabila masyarakat Islam pada waktu itu sudah mula menjauhinya, barulah ayat diturunkan untuk terus melarang arak dan segala bahan yang memabukkan.

Islam bukanlah agama yang keras dan hanya bersifat menghukum. Maka, berhemah dan bersabarlah dalam usaha membawa orang lain ke arah kebaikan, terutamanya jika mereka baru mendapat kesedaran atau sedang bergelut berusaha melawan tabiat buruk yang selama ini mereka lakukan. 

Sebagai manusia, kita melangkah ke hadapan melalui langkah-langkah kecil secara berperingkat. Bermula daripada lahirnya kesedaran, seterusnya mula mengambil langkah untuk melakukan perubahan demi perubahan. Masa yang diambil mungkin lama, tidak semua orang mampu berubah secara mendadak.

Justeru, setiap ahli masyarakat sepatutnya belajar menghormati orang lain dan bukannya merendah dan mempersendakan mereka yang pada pandangan kita banyak kelemahannya. 

Raikanlah mereka yang cuba mendekatkan diri dengan surau dan masjid di bulan yang mulia ini tanpa dijadikan bahan bualan sesama kita.

Jangan kerana kononnya mahu menanam sifat takwa kepada Allah, kita hanya menekankan rasa takut semata-mata tanpa memupuk rasa cinta kepada-Nya. 

Dalam masa sama, kita juga tidak wajar terlalu tergesa-gesa menjadi penghukum terhadap orang lain atas nama dakwah atau menyebarkan kebaikan.

Pendekatan yang terlalu keras tanpa hikmah boleh menjauhkan hati, sedangkan dakwah yang berkesan lahir daripada keseimbangan antara nasihat, kasih sayang dan kebijaksanaan. -UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN