PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan mengetengahkan calon terbaik mewakili PKR untuk mengekalkan kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa yang dipertanggungjawab untuk menyaring calon sedang meneliti senarai calon mahupun pimpinan yang dicalonkan untuk bertanding.
Selain itu, menurut beliau, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini turut membuka borang online untuk mana-mana anggota parti atau orang awam yang ingin berkhidmat kepada rakyat dengan mengisi borang menjadi calon kepada parti itu pada PRU15.
“Saya belum dapat maklumat terkini berkenaan calon, tapi ada dua perkara penting iaitu pertama, kerusi Batu kekal ditandingi oleh PKR dan kedua, kita akan menonjolkan calon yang paling boleh menang di kerusi tersebut.
“Kita belum umumkan siapa calonnya, yang kita fokus adalah yang telah diumum secara rasmi bukan apa yang bersifat khabar angin dan saya percaya dalam masa terdekat atau awal minggu hadapan PKR akan umumkan calon-calon yang bertanding,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Tian Chua dikatakan akan kembali semula ke Parlimen Batu selepas tidak bertanding pada PRU14.
Pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan kertas pencalonan Tian Chua susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac 2018 yang mengekalkan sabitan bersalah atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis terhadap Tian Chua.
PRABAKARAN
P. Prabakaran yang menggantikan Tian Chua kemudian bertanding sebagai calon bebas menang mengalahkan tiga pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Dominic Lau Hoe Chai; Azhar Yahya (Pas) dan VM Panjamothy (Bebas) dengan majoriti 24,438 undi.
Kemenangan Prabakaran turut mencipta sejarah apabila menjadi calon termuda PRU14 yang menang di Parlimen Batu.
Selepas kemenangan itu, Prabakaran menyertai PKR selepas direstui parti itu dan sah menggantikan Tian Chua sebagai wakil PKR di Parlimen Batu.
Dalam pada itu, Prabakaran ketika dihubungi memberitahu, pihaknya belum mengetahui apa-apa mengenai ‘nasibnya’ di Parlimen Batu dalam PRU15.
“Saya tak tahu, tunggulah (pengumuman calon),” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan kembali bertanding Bebas, Prabakaran berkata: “Saya belum tahu”.- UTUSAN










