PETALING JAYA: Di sebalik beban kehidupan ekoran ‘bencana’ Covid-19, pakej pengeluaran yang ditawarkan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedikit sebanyak memberi sinar kegembiraan buat pencarum mengharungi dugaan tersebut.
Malah pakej pengeluaran itu menjadikan KWSP tempat bergantung harap, sekurang-kurangnya untuk tempoh ketika pandemik yang masih ‘menghantui’ dunia sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pelaksanaan PKP menyebabkan ramai tidak dapat keluar bekerja selain ada yang terpaksa dibuang ekoran penutupan operasi perniagaan selain ada juga berdepan pemotongan gaji.
Justeru, bagi pencarum, pakej pengeluaran KWSP yang diumumkan tersebut mampu ‘menghidupkan’ poket untuk mereka berbelanja dalam tempoh yang sukar ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej pengeluaran i-Sinar dengan peruntukan RM70 bilion kepada lapan juta pencarum, diikuti i-Lestari, RM40 bilion yang disediakan kepada 12 juta pencarum.
Terbaharu, melalui pakej i-Citra yang dibuka sejak 12 Julai lalu pula, dianggarkan sebanyak RM30 bilion peruntukan buat 12.6 juta ahli.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, inisiatif kerajaan itu dilihat baik terhadap rakyat yang membuat caruman KWSP.
Namun, menurut beliau, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada golongan pekerja yang tidak mencarum terutamanya dalam ekonomi gig, bagaimana kumpulan tersebut meneruskan kehidupan ketika ini.
“Isunya sekarang, KWSP akan membantu sebahagian rakyat untuk sekurang-kurangnya dalam beberapa bulan akan datang, namun simpanan rakyat tentu berkurangan dan dianggarkan tiga juta rakyat akan kehabisan wang caruman.
“Inisiatif pengeluaran ini hanya memberi impak positif dalam jangka masa pendek dan buat golongan tertentu. Jumlah pekerja yang aktif caruman hanya 7.63 juta ahli berbanding jumlah rakyat bekerja 15 juta,” kata beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Oleh itu, kata beliau, kerajaan perlu merangka strategi bagi memastikan `talian hayat’ tidak berterusan bergantung kepada KWSP semata-mata.
Penganalisis ekonomi, Dr. Madeline Berma yang juga Felo Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga berpendapat iaitu inisiatif pengeluaran caruman KWSP hanya bersifat sementara dan tidak mampu memberikan jaminan kewangan pada masa hadapan.
“Rakyat sebaiknya mencari inisiatif menjana pendapatan produktif dengan mempelbagaikan sumber kewangan, memperbanyakkan jumlah bekerja dalam isi rumah, meningkatkan pendapatan boleh guna dan berbelanja untuk aset produktif bagi membendung masalah ini.
“Dalam keadaan sekarang, penyelesaian terbaik adalah dengan pembukaan sektor ekonomi setelah imuniti kelompok dicapai bagi memberikan peluang pekerjaan untuk rakyat menjana pendapatan sendiri selain bergantung kepada pakej bantuan diberikan kerajaan,” katanya.
Menurut Berma, pengeluaran berterusan KWSP tidak akan bertahan lama kerana caruman tersebut akan `kering’ jika tiada penambahan.
Bagaimanapun, kata beliau, sudah tentu buat masa ini, pengeluaran KWSP benar-benar melegakan rakyat apabila mereka boleh menggunakan untuk kelangsungan hidup.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, inisiatif itu akan menyuntik tunai dalam sistem ekonomi domestik negara yang lemah.
]
“Perkara ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat mensubsidikan kos sara hidup mereka,” jelasnya.
Selain itu, menurut Aimi Zulhazmi, kos inflasi pada bulan Mei dan Jun lalu di luar bandar adalah lebih tinggi berbanding dalam bandar disebabkan kenaikan harga barangan dan kos pengangkutan.
“Pengeluaran KWSP tersebut memang penyelesaian jangka pendek untuk meneruskan kehidupan tetapi langsung tidak membantu mengembangkan wang tersebut,” kata beliau.
Semalam akhbar ini melaporkan, lebih ramai rakyat jatuh ke dalam kategori miskin dan miskin tegar akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, dengan bilangan isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 bertambah sebanyak 12.5 peratus.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin,berdasarkan kajian jabatan itu, bilangan isi rumah miskin pada 2020 meningkat kepada 638,800 daripada 405,400 orang tahun sebelumnya.
Katanya, kadar kemiskinan tegar pula meningkat kepada 78,000 daripada 27,200 isi rumah pada 2019. Kadar kemiskinan mutlak turut meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus tahun lalu. – MINGGUAN










