JOHOR BAHRU: Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, maut selepas dipercayai dipukul beberapa kali termasuk di bahagian kepala menggunakan sebatang besi berbentuk petak yang digunakan untuk menutup pintu kabinet.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, bahagian hulu batang besi berkenaan ditemukan polis dalam keadaan berbalut dengan kain tali leher dipercayai bertujuan untuk dijadikan bahagian pemegang.
Menurut beliau, selain bahagian kepala, kesan pukulan batang besi berkenaan turut ditemukan di beberapa bahagian tubuh mangsa, termasuklah di bahagian tangan dan badannya.
“Berdasarkan siasatan dibuat, kita percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek. Ini susulan terdapat kesan kecederaan mempertahankan diri di tubuh badan mangsa. Siasatan juga mendapati mangsa tidak dirogol suspek.
“Selain batang besi sepanjang 96 sentimeter itu, polis turut merampas satu telefon bimbit, sehelai seluar track suit berwarna hitam serta baju sukan berwarna putih merah bernombor 27 yang mempunyai kesan darah, kunci motosikal, buku matematik tambahan tertera nama mangsa dan contoh soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat.
Tambah Ab. Rahaman, setakat ini siasatan menunjukkan suspek bertindak sedemikian dipercayai kerana perasaan dendam angkara cintanya ditolak mangsa sebagai motif utama kejadian.
“Pada masa sama, mangsa turut didakwa mempunyai hubungan dengan kawan baik kepada mangsa sendiri.
“Bagaimanapun, perkara ini akan terus diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan. Setakat ini, polis mendapati suspek bergerak bersendirian namun, sama ada jenayah itu dirancang terlebih dahulu atau berlaku secara kebetulan masih dalam siasatan.
“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod disiplin sepanjang berada di sekolah berkenaan, manakala isu berhubung kesihatan mental suspek bergantung kepada pihak mahkamah sama ada perlu menjalani pemeriksaan psikiatrik atau tidak,” katanya.
Beliau turut memberitahu, kertas siasatan berhubung kejadian itu dijangka akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut melibatkan tindakan pendakwaan.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini membenarkan sambungan reman selama enam hari terhadap suspek lelaki yang berusia 16 tahun kerana dipercayai membunuh rakan sekelasnya di dalam dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth.
Suspek sebelum ini direman selama enam hari sejak Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN











