Pemandu teksi Afghanistan ‘curi-curi’ dengar muzik dalam kereta

Pemandu teksi Afghanistan ‘curi-curi’ dengar muzik dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Pemandu teksi di Afghanistan mula memasang muzik di dalam kenderaan masing-masing, mencabar larangan yang dikenakan kerajaan Taliban walaupun berdepan risiko ditahan polis moral.

Muzik yang sebelum ini sering berkumandang dari restoran, kafe dan kedai di ibu negara itu kini tidak lagi kedengaran sejak lima tahun lalu, kecuali lagu keagamaan atau patriotik yang disokong pihak berkuasa Taliban yang memerintah sejak 2021.

Bagaimanapun, sebahagian pemandu teksi seperti Roeen mula memasang muzik rakyat Afghanistan dan serantau serta lagu pop, sebelum segera menutupnya apabila pasukan keselamatan berada berhampiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap kali melalui sekatan jalan raya, kami memperlahankan bunyi muzik atau menutupnya terus… supaya saya tidak berdepan masalah dengan mereka,” kata Roeen yang hanya memberikan nama pertamanya atas faktor keselamatan.

Larangan muzik di tempat awam itu dikuatkuasakan Kementerian Amar Makruf dan Nahi Mungkar (PVPV), yang anggota polis moralnya meronda di sekitar bandar.

Peraturan PVPV menetapkan muzik dilarang dan boleh mengganggu penumpang, pemandu hendaklah tidak memasang atau mendengarnya.

Kementerian berkenaan tidak memberikan maklum balas ketika ditanya mengenai hukuman yang dikenakan terhadap rakyat Afghanistan kerana memasang muzik, namun mereka yang melanggar pelbagai peraturan lain berdepan risiko dipenjarakan.

Di negara yang mengharamkan pelbagai bentuk hiburan termasuk panggung wayang, mendengar muzik secara berterusan menjadi “satu bentuk protes” bagi pemandu berusia 28 tahun itu.

“Saya perlu memastikan walaupun tidak dapat mendengar muzik pada awal pagi, menjelang pukul 8 pagi, muzik saya sudah dipasang,” kata Roeen.

Seorang lagi pemandu teksi yang enggan mendedahkan identiti atas faktor keselamatan berkata, dia hanya mendengar muzik ketika bersendirian di dalam kereta dan dikelilingi bunyi kenderaan lain.

Sebagai sebahagian daripada usaha membanteras muzik yang dilarang, jabatan PVPV di wilayah tertentu dari semasa ke semasa melaporkan tindakan membakar alat muzik.

Bagaimanapun, tiada angka rasmi mengenai jumlah alat muzik yang dirampas, menurut jurucakap kementerian, Saiful Islam Khyber.

Di seluruh Kabul, penduduk menggunakan teksi kongsi sebagai pengangkutan mampu milik untuk bergerak di sekitar bandar yang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang sempurna.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×