KABUL: Sekurang-kurangnya 11 orang disahkan maut selepas kumpulan lelaki bersenjata menyasarkan orang awam di sebuah kawasan perkelahan di barat Afghanistan.
Pegawai wilayah pada asalnya menyatakan empat orang terbunuh dalam serangan di daerah Enjil, wilayah Herat pada Jumaat.
Namun, pegawai itu kemudian memaklumkan bahawa tujuh lagi mangsa yang mengalami kecederaan kritikal turut meninggal dunia.
Setakat ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.
Seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan berkata, lelaki bersenjata tidak dikenali yang menunggang motosikal itu melepaskan tembakan berhampiran kampung Deh Mehri.
Kawasan rekreasi tersebut biasanya sesak pada Jumaat.
Seorang doktor di Herat memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa mangsa yang merupakan penganut Islam Syiah telah pergi ke sebuah makam tempatan untuk berkelah.
Umat Islam Syiah adalah kumpulan minoriti di Afghanistan dan pernah menjadi sasaran sebelum ini.
Ketua maklumat dan kebudayaan wilayah bagi kerajaan Taliban di Herat, Ahmadullah Muttaqi berkata, insiden itu berlaku kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan.
“Dalam satu insiden, lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah penduduk yang telah pergi ke kampung Deh Mehri di daerah Enjil untuk berekreasi,” katanya kepada BBC.










