ISLAMABAD: Pakistan dan Afghanistan saling menuduh melancarkan serangan rentas sempadan baharu menyebabkan ketegangan meningkat di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Pihak Taliban di Afghanistan pada Isnin berkata, empat orang terbunuh dalam serangan di wilayah timur Kunar.
Pegawai Pakistan pula melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang awam cedera akibat tembakan di Waziristan Selatan.
Keganasan yang kembali tercetus itu mengancam rundingan damai rapuh antara kedua-dua negara. Pakistan dan Afghanistan mencapai gencatan senjata pada Mac lalu yang menamatkan beberapa minggu pertempuran berdarah.
Timbalan jurucakap Taliban, Hamdullah Fitrat berkata, tentera Pakistan melancarkan serangan bom mortar dan roket yang mencederakan 45 orang.
Beliau memaklumkan, pelajar, wanita dan kanak-kanak turut cedera dalam insiden itu apabila rumah kediaman dan Universiti Sayed Jamaluddin Afghani di Asadabad, ibu wilayah Kunar, turut menjadi sasaran serangan.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Pakistan, yang menyasarkan orang awam dan institusi akademik serta pendidikan, menganggapnya sebagai jenayah perang yang tidak boleh dimaafkan,” kata jurucakap itu dalam hantaran di media sosial.
Kementerian Penerangan Pakistan bagaimanapun menolak dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai ‘pembohongan terang-terangan’ serta menekankan tiada sebarang serangan dilakukan ke atas universiti berkenaan.
Dalam pada itu, jurucakap pasukan sempadan Pakistan menyifatkan insiden di Waziristan Selatan sebagai pertempuran paling serius sejak gencatan senjata diumumkan.
Serangan itu merupakan serangan besar pertama sejak kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan keganasan dalam rundingan damai bulan lalu yang dimediasi oleh China.
Turkiye, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi turut berusaha meredakan konflik tersebut, ketika hubungan antara Pakistan serta Afghanistan kekal tegang sejak Taliban kembali berkuasa buat kali kedua pada 2021.- AL JAZEERA










