Warga emas didenda RM10,000 guna dokumen palsu permohonan PATI

Warga emas didenda RM10,000 guna dokumen palsu permohonan PATI

MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan kuota pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), tiga tahun lalu.

Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menetapkan denda itu selepas tertuduh, Chua Keng Hiang, 73, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan dia yang juga pengarah syarikat PSSB Holdings (M) Sdn Bhd dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, lelaki itu itu didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen perjanjian sewaan (tenancy agreement) palsu bertarikh 1 Julai 2021 antara syarikat PSSB Holdings dan pemilik premis, Goh Leong Han, 65.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Sri Hartamas, di sini, pada 5 Julai 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, dokumen sewaan palsu bagi sebuah unit milik Leong Han di Jalan Padang Walter Grenier, di sini, telah digunakan sebagai dokumen sokongan dalam permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan kepada JIM.

JIM yang mempercayai dokumen tersebut adalah tulen kemudiannya meluluskan kuota sebanyak enam orang pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi sektor perkhidmatan kepada syarikat PSSB Holdings sebelum semakan lanjut mendapati dokumen itu dipalsukan.

Hasil siasatan mendapati Leong Han yang juga pemilik premis tersebut menafikan pernah menurunkan tandatangan atau membuat sebarang perjanjian sewa dengan syarikat milik tertuduh itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan hukuman berat mengambil kira faktor kesalahan dilakukan melibatkan keselamatan iaitu kemasukan warga asing ke dalam Malaysia.

“Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, Michelle Tan yang mewakili Leong Han memohon hukuman denda yang lebih ringan atas alasan anak guamnya merupakan warga emas.

Katanya, tertuduh juga menghidap pelbagai penyakit antaranya dementia peringkat awal, kanser prostat dan sakit jantung.

“Anak guam memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan menyesali perbuatannya. Dia berjanji tidak akan mengulanginya di masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini