PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian sebaliknya menyerahkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan mengakui kehadiran pelarian di negara ini menimbulkan pelbagai cabaran, termasuk dari segi ekonomi, sosial, politik dan keselamatan.
Beliau berkata, isu berkenaan turut mencetuskan ketegangan dalam sesetengah komuniti sehingga terdapat segelintir masyarakat mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian.
“Isu berkenaan turut mencetuskan ketegangan dalam sesetengah komuniti sehingga terdapat segelintir masyarakat mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian, termasuk menyerang rumah dan menghalau mereka dari kampung.
“Biar pihak polis jalankan tanggungjawab, minta jangan ambil tindakan undang-undang di tangan sendiri. Serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diteruskan bagi menguruskan keberadaan warga asing yang ditahan di negara ini.
Menurutnya, kapasiti depot tahanan imigresen yang mampu menampung kira-kira 20,000 orang kini menempatkan lebih 23,000 tahanan, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi pengurusan dan kebajikan.
“Kalau depot lebih muatan, timbul masalah baru pula. Masalah kesihatan, masalah dia bergaduh sama sendiri. Perbelanjaan meningkat, pun kita kena uruskan,” katanya. – UTUSAN











