PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan usaha menghantar pulang pelarian Myanmar ke negara asal selagi tiada keputusan mahkamah yang mengarahkan sebaliknya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan oleh Majlis Peguam Malaysia membolehkan kerajaan meneruskan usaha berkenaan sementara menunggu prosiding semakan kehakiman pada 8 Disember ini.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri akan terus berunding dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu pelarian yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
“Buat masa sekarang, permintaan untuk penangguhan oleh Majlis Peguam ditolak. So kita teruskan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Katanya, pasukan peguam kerajaan bersama Jabatan Peguam Negara akan mewakili kerajaan dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Saifuddin berkata, kerajaan perlu terus berunding dengan Myanmar kerana masalah pelarian tidak dapat diselesaikan sekiranya hubungan dan perbincangan dengan negara asal mereka tidak dapat dilaksanakan.
“Macam mana nak selesai masalah kalau kita tak boleh jumpa dengan pemimpin Myanmar? Sebab itu kita jemput dia datang,” katanya.
Katanya, melalui perbincangan dua hala, kerajaan dapat menyampaikan pendirian Malaysia, mendengar pandangan pihak Myanmar dan menetapkan tindakan susulan bagi menangani isu berkenaan.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, kerjasama dengan kerajaan Myanmar penting bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara berperingkat, selain mengurangkan tekanan terhadap kemudahan tahanan imigresen.
“Kerajaan akan terus menangani isu berkenaan melalui saluran diplomatik dan perundangan, dengan keputusan mahkamah menjadi panduan terhadap tindakan seterusnya,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, setakat ini, kira-kira 10,300 pelarian Myanmar sudah dibawa pulang ke negara asal manakala 3,000 lagi dijangka mengikuti proses penghantaran pulang pada bulan ini. – UTUSAN











