ISLAMABAD: Lebih 400 orang di Afghanistan terkorban dalam konflik rentas sempadan terkini dengan Pakistan, menurut pegawai di Islamabad.
Menteri Maklumat, Attaullah Tarar menyatakan sekurang-kurangnya 415 pejuang Taliban dan militan sekutu terbunuh, manakala lebih 580 lagi cedera dalam serangan udara dan pertempuran sejak Khamis.
Selain itu, 182 pos kawalan Afghanistan dilaporkan musnah bersama 185 kereta kebal, kenderaan berperisai dan meriam, dengan serangan udara menyasarkan 46 lokasi di seluruh negara.
Kerajaan Afghanistan di Kabul masih belum mengulas dakwaan Tarar. Jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat pula menyatakan tiga hari pertempuran sempadan mengakibatkan 78 kematian.
Jumlah itu termasuk 12 tentera Pakistan dan seorang mangsa awam serta 13 askar Afghanistan bersama 52 orang awam Afghanistan, kebanyakannya wanita termasuk kanak-kanak. Mangsa-mangsa itu dilaporkan berada di wilayah Paktika, Khost, Kunar, Nangarhar dan Kandahar.
Pakistan dan Afghanistan kini berada dalam keadaan tegang, dengan tiada pihak dapat mengesahkan angka korban secara bebas.
Pakistan melancarkan serangan udara ke Afghanistan sejak awal Jumaat, sebagai tindak balas kepada tembakan Taliban di pos sempadan Pakistan sehari sebelumnya yang mengorbankan dua tentera.
Kabul menyifatkan tindakan rentas sempadan itu sebagai operasi balas dendam selepas serangan udara Pakistan pada Ahad lalu. Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif pula menyebut situasi ini sebagai ‘perang terbuka’, menuduh kerajaan Taliban Afghanistan ‘mengeksport keganasan’.
Sejak Mac 2024, pertempuran sempadan semakin kerap berlaku, mencapai kemuncak pada Oktober 2025 apabila tentera Pakistan merampas 19 pos sempadan Afghanistan semasa pertembungan dengan pasukan Taliban.
Sejak beberapa bulan lalu hubungan bertambah tegang apabila Pakistan menuduh militan beroperasi dari wilayah Afghanistan dengan sokongan kerajaan Taliban, tuduhan yang dinafikan Kabul.
Pakistan juga mendakwa Afghanistan memperluas hubungan ketenteraan dan politik dengan India tanpa mengambil kira kepentingan Islamabad, manakala Kabul menegaskan haknya untuk menjalin hubungan dengan mana-mana negara.- AGENSI










