EcoWorld catat untung bersih RM424.3 juta pada sembilan bulan pertama 2026 - Utusan Malaysia

EcoWorld catat untung bersih RM424.3 juta pada sembilan bulan pertama 2026

ECO Botanic di Iskandar Malaysia, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai (PAT) Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) melonjak 36 peratus kepada RM424.3 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku ketiga sahaja, PAT kumpulan turut meningkat 20 peratus kepada RM120.8 juta berbanding RM100.7 juta yang direkodkan pada suku ketiga 2025.

Prestasi kewangan yang kukuh itu disokong oleh jumlah jualan terkumpul melebihi RM5 bilion bagi tempoh 10 bulan tahun kewangan 2026, sekali gus melepasi sasaran tahunan RM4.0 bilion yang ditetapkan syarikat.

Pencapaian jualan berkenaan didorong oleh jualan bernilai RM4.05 bilion sehingga 31 Ogos 2026, serta pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) tanah perindustrian bernilai RM1.01 bilion di Eco Business Park VII kepada Tera Data Centers pada 22 September lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Seri Chang Khim Wah berkata, ini merupakan kali pertama kumpulan berjaya melepasi ambang jualan RM5.0 bilion sepanjang penubuhannya.

“Peningkatan PAT dan jualan berpunca daripada pengiktirafan hasil yang lebih tinggi berikutan jualan terkunci yang mantap merentasi semua pilar perniagaan kami, terutamanya perindustrian dan kediaman.

“Transaksi tanah perindustrian di Quantum Pulse bagi operasi pusat data merupakan pencapaian penting, manakala komponen kediaman menyumbang RM2.3 bilion atau 57 peratus daripada jumlah jualan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat turut mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 2 sen sesaham bagi suku ketiga, membawa jumlah keseluruhan dividen terkumpul tahun ini kepada 6 sen sesaham berbanding 5 sen sesaham bagi tempoh sama pada Tahun Kewangan 2025.

Bagi pecahan jualan sehingga 31 Ogos 2026 mengikut wilayah, Iskandar Malaysia (Selatan) menyumbang sebanyak 49 peratus atau RM1.966 bilion, diikuti Lembah Klang dan Negeri Sembilan (Tengah) sebanyak RM1.790 bilion (44 peratus) serta Pulau Pinang (Utara) sebanyak RM296 juta (7 peratus).

Tambah beliau, kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan hasil masa hadapan berada pada paras tinggi RM5.01 bilion, manakala nisbah gearan bersih berkurangan kepada 0.21 kali disokong oleh baki tunai sebanyak RM2.28 bilion.

Mengenai pengembangan antarabangsa, EcoWorld baru-baru ini diumumkan sebagai pemenang tender Lembaga Semula Pembangunan Bandar (URA) Singapura bagi sebidang tanah kediaman seluas 4,283.4 meter persegi di Lorong Puntong/Sin Ming Avenue, yang menandakan projek pembangunan pertama kumpulan di negara berkenaan yang dijangka dilancarkan pada 2028.

“Berdasarkan jualan yang kukuh dan keputusan kewangan suku ketiga, kumpulan berada di landasan tepat untuk menutup Tahun Kewangan 2026 dengan prestasi rekod jualan dan keuntungan tertinggi,” tambahnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×