PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) mencatat jualan melebihi RM5 bilion dalam tempoh setahun buat kali pertama, selepas merekodkan RM4.05 bilion bagi tempoh 10 bulan pertama tahun kewangan 2026 (FY2026).
Pencapaian itu turut mengambil kira penjualan tanah industri seluas 221.665 ekar di Eco Business Park VII (EBP VII), Negeri Sembilan kepada Tera Data Centers (Malaysia) Sdn. Bhd. bernilai RM1.01 bilion pada 22 September lalu.
Jumlah berkenaan sekali gus mengatasi sasaran jualan penuh tahun FY2026 sebanyak RM4 bilion.
Keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku ketiga pula meningkat 20 peratus kepada RM120.8 juta, manakala PAT bagi sembilan bulan pertama FY2026 meningkat 36 peratus kepada RM424.3 juta.
Margin keuntungan kasar bagi suku ketiga berada pada paras 27.2 peratus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Seri Chang Khim Wah berkata, pencapaian tersebut merupakan kali pertama jualan kumpulan melepasi paras RM5 bilion.
Menurut beliau, urus niaga bersama Tera itu melibatkan dua bidang tanah industri di dalam QUANTUM Pulse, iaitu kawasan khusus bagi operasi pusat data di EBP VII.
“Dalam masa yang sama, jualan produk SME Core di EBP VII terus berkembang dengan RM942 juta jualan dicatatkan hanya dalam tempoh 10 bulan selepas pelancarannya.
“Ini menunjukkan daya tahan, kedalaman dan kekuatan permintaan sektor pembuatan domestik daripada pelbagai industri,” katanya dalam kenyataan prestasi suku ketiga FY2026, semalam.
Bagi tempoh sehingga 31 Ogos 2026, wilayah Selatan yang merangkumi Iskandar Malaysia menjadi penyumbang terbesar dengan RM1.97 bilion atau 49 peratus daripada jumlah jualan.
Ia diikuti wilayah Tengah termasuk Lembah Klang dan Negeri Sembilan sebanyak RM1.79 bilion atau 44 peratus, manakala Pulau Pinang menyumbang RM296 juta atau tujuh peratus.
Mengikut segmen, Eco Townships merekodkan RM1.60 bilion, diikuti Eco Business Parks sebanyak RM1.04 bilion, Eco Rise RM700 juta dan Eco Hubs RM424 juta.
Segmen kediaman kekal sebagai penyumbang utama dengan RM2.3 bilion atau 57 peratus daripada jumlah jualan kumpulan.
Eco Townships mencatat pertumbuhan 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Eco Botanic 3 di Iskandar Malaysia menjadi penyumbang tertinggi menerusi jualan RM565 juta.
Sementara itu, Eco Rise merekodkan RM700 juta jualan, dengan 83 peratus daripadanya disumbangkan oleh projek duduk.
Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham bagi suku ketiga FY2026, menjadikan jumlah dividen bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan itu kepada enam sen sesaham berbanding lima sen bagi tempoh sama FY2025.
Sementara itu, EcoWorld turut mengembangkan operasi ke Singapura selepas diumumkan sebagai pemenang tender Urban Redevelopment Authority (URA) pada 18 September lalu bagi sebidang tanah seluas 4,283.4 meter persegi di Lorong Puntong/Sin Ming Avenue.
Tapak berkenaan akan menjadi projek pembangunan pertama EcoWorld di Singapura dan dijangka dilancarkan pada 2028.
Menurut Khim Wah, lokasi tersebut mempunyai jaringan jalan raya dan rel yang baik serta dikelilingi taman dan kawasan hijau, selain berhampiran pelbagai kemudahan runcit, gaya hidup dan rekreasi.
“Berdasarkan prestasi jualan yang kukuh dan keputusan sembilan bulan pertama FY2026, kumpulan berada pada landasan untuk menutup FY2026 dengan prestasi kukuh, disokong jualan dan keuntungan pada paras rekod serta asas pendapatan yang semakin pelbagai,” katanya. – UTUSAN











