PETALING JAYA: Eco World International Berhad (EcoWorld International) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.5 juta pada suku pertama 2024 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM30.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng berkata, ia disebabkan oleh keuntungan pertukaran asing daripada peningkatan British Pound (GBP) berbanding ringgit semasa pembayaran balik pinjaman oleh EcoWorld-Ballymore.
Katanya, ia juga disebabkan kos kewangan yang lebih rendah akibat penyelesaian penuh semua pinjaman pada 2023.
“Kumpulan turut berjaya mencapai pertukaran jualan sebanyak RM243 juta ditambah dengan simpanan sebanyak RM203 juta menambah sehingga jumlah sebanyak RM446 juta untuk empat bulan pertama tahun kewangan 2023,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Embassy Gardens merupakan penyumbang terbesar membawa masuk jualan sebanyak RM105 juta, diikuti oleh Wardian (RM75 juta) dan Yarra One (RM20 juta).
“Selepas pengagihan dividen sebanyak RM144 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024, kumpulan masih mempunyai baki tunai bersih sebanyak RM211 juta pada 31 Januari 2024,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi EcoWorld International, katanya, kumpulan itu terus membuat kemajuan dengan pemodenan inventori.
“Sehingga 29 Februari 2024, kami mempunyai inventori hampir siap sebanyak RM650 juta yang boleh dijual, di mana bahagian berkongsi efektif kumpulan adalah sekitar RM500 juta.
“Jualan inventori yang siap dianggarkan akan menghasilkan tunai berlebihan sehingga RM500 juta untuk kumpulan sepanjang 2024 dan 2025,” katanya.
Tambah beliau, lembaga niaga bercadang mengagihkan tunai berlebihan kepada pemegang saham dan sedang memohon kelulusan dalam Mesyuarat Agung Tahunan mereka minggu depan bagi menjalankan latihan pengurangan modal kedua. – UTUSAN










