PETALING JAYA: Sultan mempunyai kuasa prerogatif untuk menegur, menasihati semula malah menolak nasihat kerajaan negeri sekiranya ia dilihat menggugat kerukunan masyarakat, prinsip patuh syariah atau bercanggah dengan keadaan tempatan.
Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, dakwaan dalam sistem Raja Berperlembagaan bahawa Sultan mesti sentiasa mengikut nasihat badan Eksekutif secara mutlak adalah satu salah faham yang sengaja disebarkan.
Katanya, doktrin nasihat di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor tidak bersifat mutlak kerana ia tertakluk kepada kedaulatan undang-undang serta keluhuran undang-undang tubuh kerajaan negeri.
“Sultan mempunyai tanggungjawab Perlembagaan untuk memastikan nasihat yang diberikan tidak bercanggah dengan peranan Baginda sebagai pemegang amanah Allah SWT dan Ketua Agama Islam.
“Ini adalah prinsip kedaulatan Raja Melayu yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 sebagai mengikut adat Melayu.
“Jika nasihat kerajaan negeri menggugat kerukunan masyarakat, prinsip patuh syariah atau melanggar Doktrin Keadaan Tempatan, Sultan mempunyai kuasa prerogatif untuk menegur, menasihati semula malah menolak demi memelihara integriti negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi mengulas polemik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu penternakan babi serta kenyataan bekas pemimpin politik, Ronnie Liu yang mempertikaikan titah Sultan Selangor berkaitan isu berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, aktiviti penternakan babi tidak boleh dijalankan secara sewenang-wenangnya tanpa kawalan ketat terutama berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Beliau berkata, pandangan dizahirkan Sultan Selangor berhubung isu itu adalah berasas susulan pelbagai ‘keterlanjuran’ yang berlaku sehingga menjejaskan kesihatan awam.
“Secara prinsip, saya tidak bersetuju penternakan khinzir dibangunkan tanpa kawalan termasuk terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk.
“Operasi penternakan juga perlu menggunakan teknologi moden serta memberi jaminan tiada pencemaran berlaku,” katanya ketika sidang akhbar penutup bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina semalam.
Bagaimanapun, Anwar mengakui sukar bagi kerajaan untuk menyekat sepenuhnya industri tersebut sekiranya pengusaha mampu memenuhi syarat ketat ditetapkan.
Anwar berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dan beliau akan menghadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara kebimbangan utama dibangkitkan ialah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan termasuk di Klang.
Menurut Wan Ahmad Fauzi yang juga Pakar Perlembagaan, ahli politik perlu sedar bahawa mereka hanyalah pelaksana fungsi kuasa Sultan dan bukannya pemilik kuasa mutlak.
Beliau berkata, ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman memperoleh autoriti mereka daripada Sultan Selangor seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan kuasa prerogatif Baginda.
Katanya, Sultan adalah punca kuasa. Maka sesiapa sahaja yang menjalankan kuasa tersebut bertindak bagi pihak dan atas nama Duli Yang Maha Mulia.
“Mereka tidak boleh lari daripada intipati kedudukan Sultan. Sebagai contoh, tugas Sultan sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipisahkan daripada pentadbiran sekular negeri.
“Setiap dasar yang dirangka oleh pihak Eksekutif mestilah selaras dengan status Selangor sebagai negeri yang berdaulat di bawah kedaulatan Sultan Melayu-Islam.
“Pelaksana kuasa tidak boleh bertindak membelakangkan ‘tuan’ kepada punca kuasa tersebut,” katanya.
Mengulas isu penternakan babi dari sudut Doktrin Keadaan Tempatan, beliau berkata, Selangor mempunyai adat dan sensitiviti tempatan yang jelas serta isu tersebut bukan sekadar melibatkan ekonomi semata-mata.
Katanya, isu penternakan babi bukan sekadar soal ekonomi, tetapi soal kebersihan dan kerukunan masyarakat majmuk.
“Titah Sultan untuk mengawal selia perkara ini adalah langkah proaktif melindungi maslahah awam.
“Baginda tidak menyekat hak makan orang bukan Islam, malah mencadangkan import sebagai alternatif, tetapi Baginda menggunakan prerogatifnya untuk menentukan kesesuaian aktiviti di atas tanah Selangor.
“Ini adalah keadilan Perlembagaan yang berpijak di bumi nyata, bukan teori liberal yang tidak berakar umbi,” katanya. – UTUSAN










