Sukarelawan wanita GSF 2.0 tidak dibawa ke zon merah

Sukarelawan wanita GSF 2.0 tidak dibawa ke zon merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukarelawan wanita dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 tidak akan dibawa memasuki zon merah konflik sebaliknya mreka diturunkan di lokasi lebih selamat sebelum kapal menghampiri kawasan berisiko.

Pegawai Strategik Sumud Nusantara, Haikal Zulkefli berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan mereka selain membolehkan wanita yang terlibat membantu sebagai kru sokongan di lapangan.

Katanya, pihak Sumud Nusantara sentiasa merujuk panduan serta nasihat pihak berautoriti agama termasuk mufti dan Majlis Fatwa bagi memastikan misi kemanusiaan tersebut tidak bercanggah dengan ketetapan syarak.

“Sebelum sampai ke zon merah, peserta wanita mungkin akan diturunkan di kawasan-kawasan yang lebih selamat dan mereka boleh membantu di lapangan ataupun menjadi ground crew untuk memudahkan urusan mereka yang mungkin akan dipintas.

“Kita hanya boleh menganggarkan sahaja dan menganalisis situasi-situasi berdasarkan apa yang berlaku di rantau Asia Barat pada ketika ini.

“Jika kita melihat ada masalah yang lebih besar, mungkin apabila sampai ke zon merah nanti dan ditangkap seperti mana sebelum-sebelum ini, maka kita akan terus menggerakkan jawatankuasa di bawah Sumud Nusantara dan GSF untuk menurunkan peserta wanita sebelum kapal memasuki zon merah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, wanita tidak wajar ditempatkan di titik konflik yang hampir pasti berlakunya kekerasan manakala pengunduran mereka daripada zon merah merupakan pematuhan kepada syariat, bukan tanda kelemahan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan berkata, kehadiran wanita di zon merah bukan sekadar risiko individu, sebaliknya berpotensi mencetuskan implikasi strategik, eksploitasi propaganda musuh, tekanan diplomatik dan perubahan fokus misi daripada bantuan kepada operasi menyelamat.

Mengulas lanjut, Haikal berkata, sukarelawan wanita akan terus dibenarkan berada di atas kapal sekiranya situasi pelayaran berada dalam keadaan selamat dan perjalanan ke Gaza diyakini dapat diteruskan dalam masa terdekat.

Katanya, keputusan itu bergantung kepada perkembangan semasa sepanjang pelayaran serta penilaian terhadap tahap keselamatan sebelum kapal memasuki zon berisiko.

“Namun jika tidak ada masalah dan kita yakin untuk sampai ke Gaza dalam tempoh waktu terdekat, maka kita akan terus membenarkan peserta wanita untuk berada di atas kapal, insya-Allah.

“Perkara itu akan berlaku apabila kita melihat kepada pelayaran ini dalam tempoh dua minggu akan datang kerana kita tidak tahu situasinya bagaimana,” katanya.

Menurut beliau, aktivis wanita yang berada di atas kapal ketika ini bukan sekadar peserta biasa sebaliknya dipilih sebagai kru kapal bagi membantu menguruskan operasi pelayaran.

Katanya, mereka telah melalui beberapa fasa temu duga serta mempunyai latihan asas maritim atau pengalaman sebagai kru kapal bagi memastikan kapal dapat beroperasi dengan baik sepanjang misi.

“Berdasarkan pengalaman, jika kapten dan kru kapal atau individu yang bertindak menjaga kapal tidak mencukupi, agak sukar untuk kapal-kapal ini belayar kerana kita memerlukan individu yang telah melalui latihan asas maritim serta mempunyai pengalaman sebagai kru kapal sama ada kapal komersial ataupun kapal layar.

“Setakat ini peserta wanita memang diperlukan di atas kapal kerana mereka adalah kru kapal. Mereka bukan lagi peserta biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×